Tuesday, April 23, 2024
35.6 C
Brunei

    -

    Kepentingan bahasa dalam tamadun dunia Melayu

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Tema Bahasa Jiwa Bangsa, yang diketengahkan bagi Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu sempena Bulan Bahasa walaupun mungkin saja sudah klise di mata sesetengah masyarakat, namun hakikatnya, tema itu masih relevan dan signifikan dalam kelangsungan ketamadunan dunia Melayu.

    “Tema ini dipilih semata-mata untuk menyegarkan minda kita dan seterusnya menekankan betapa pentingnya bahasa sebagai jiwa kepada kehidupan bangsanya yang sekali gus menggambarkan bahawa ketiga-tiga elemen bahasa, budaya dan bangsa berpisah tiada.”

    Penekanan itu dibuat oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin ketika berucap di Majlis Perasmian Siri Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu, Bersempena Bulan Bahasa yang berlangsung secara maya, hari ini.

    Beliau menekankan lanjut, “Kita akan tetap bersatu, kita akan tetap kuat dan kita akan tetap mempertahankan keutuhan bahasa, sastera dan budaya Melayu sampai bila-bila, tanpa mengira ombak ranjau yang semakin menghimpit dan mencengkam gaya hidup kita.”

    Oleh itu, ulasnya, ketiga-tiga elemen perbincangan dalam kongres berkenaan iaitu bahasa, sastera dan budaya Melayu tidak lari daripada elemen kesejagatan, kerohanian, kemanusiaan dan kemasyarakatan dalam membina kehidupan insaniah manusia.

    Sementara itu bagi merealisasikan hasrat tersebut, beliau menekankan bahawa ia perlu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi dunia termasuk memanfaatkan penggunaan platform Revolusi Perindustrian 4.0 sebagai variasi nilai tambah dalam usaha mengetengahkan, membudayakan dan mengangkat martabat bahasa, sastera dan budaya Melayu.

    Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Dato berkata medan kongres bahasa, sastera dan budaya itu, merupakan landasan terbaik lagi betul untuk kita mencapai hasrat berkenaan dengan kerjasama strategik dengan rakan strategik dari negara luar di mana ia menggabungkan pakar-pakar bahawa, sastera dan budaya Melayu setentunya memberikan manfaat serta ruang kepada pelayar kongres bercabung minda daripada aspek induksi, pendidikan, kegiatan kebersamaan, perancangan ke hadapan, hala tuju dan peta jalan melalui perspektif yang akan disampaikan dalam kongres berkenaan.

    “Saya amat mengharapkan agar semangat dan iltizam serumpun melalui kongres ini akan sentiasa dapat kita segarkan sebagai satu kerjasama strategik berpanjangan dan tidak hanya bernoktah di sini dalam usaha kita memartabatkan bahasa, sastera dan budaya Melayu dan akhirnya membawa Bahasa Melayu itu, menggapai dunia.”

    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Siri Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu bersempena Bulan Bahasa yang berlangsung secara maya, hari ini.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...