Kepentingan daun sebagai pembungkus, kraf tangan

Apabila mengimbas kembali zaman orang-orang dahulu, kaedah pembungkusan sama ada makanan dan apa-apa sahaja, daunlah menjadi wadahnya.

Namun sekarang plastik menjadi pengganti. Hakikatnya pembungkusan menggunakan plastik amat berbahaya kepada kesihatan terutamanya apabila makanan yang dibungkus dalam keadaan panas.

Kekurangan sumber daun semula jadi ini dilihat semakin sukar diperolehi kemungkinan disebabkan keadaan persekitaran kita yang mengalami kepesatan arus pembangunan. Apa yang paling mudah dijumpai kini ialah daun pisang yang kebiasaannya banyak digunakan dalam kalangan masyarakat kita dalam penyediaan makanan iaitu sebagai pembungkus atau alas hidangan makanan dan juga sebagai pewarna serta perasa.

Oleh yang demikian, apa kata kita terokai beberapa jenis daun semula jadi yang sesuai dijadikan pembungkus makanan yang pastinya selamat dan memiliki nilai-nilai alami apabila digunakan.

Aroma pembungkus daun pisang

Daun pisang merupakan salah satu jenis daun yang masih dipraktikkan sehingga kini terutamanya dalam proses pembungkusan makanan dan kuih-muih seperti nasi lemak, tapai dan pais.

Sebelum membungkus, daun pisang hendaklah dibersihkan terlebih dahulu dan dipanggang seketika di atas api yang sederhana agar tahan lebih lama. Selain memberi bentuk bungkusan yang cantik, daun pisang juga memberikan aroma yang wangi kepada pelbagai masakan yang disediakan tersebut.

Daun bamban juga merupakan salah satu daun semula jadi yang dapat digunakan untuk menghasilkan variasi produk barangan kraf tangan anyaman sebagaimana yang diusahakan oleh Hajah Nuraliyah selaku salah seorang pengusaha kraf tangan anyaman yang berasal dari Kampung Melilas, Daerah Belait.
Penggunaan daun pisang dalam proses pembungkusan makanan dan kuih-muih seperti nasi lemak, tapai dan pais yang mana ia bukan sahaja memberi bentuk bungkusan yang cantik, malah memberikan aroma yang wangi kepada pelbagai kulinari. – Gambar hiasan
Daun pandan memberikan rasa dan kewangian tersendiri kepada kuih-muih dan masakan seperti kuih Tako. – Gambar hiasan
Keaslian rasa Wajid Jawa semakin terserlah, lebih-lebih lagi dibungkus dengan daun alami yang dikenali sebagai daun nyirik dan disemat dengan potongan kecil batang atau lidi asli dari kelapa sawit.

Pewarna dan perasa daun pandan

Daun pandan sememangnya digunakan sangat meluas dalam kalangan masyarakat Melayu terutama dalam bidang masakan. Air perahan daunnya dijadikan sebagai perasa, pewangi serta pewarna semula jadi di dalam kuih-muih seperti kuih Seri Muka.

Helaian daunnya juga digunakan dalam masakan nasi lemak atau nasi putih bagi membangkitkan lagi aroma nasi. Begitu juga daun pandan ini juga dapat dijadikan penambah aroma wangi pada pelbagai jenis bubur seperti bubur kacang dan bubur durian. Namun sesetengah masyarakat juga menghasilkan anyaman dari daun pandan untuk dijadikan wadah pembungkus makanan seperti kuih Tako.

Wajid dari daun nyirik

Tak lapuk ditelan zaman, begitulah istimewanya Wajid atau Wajik Jawa yang merupakan salah satu produk makanan jenis kuih yang diwarisi turun-temurun dari zaman dahulu lagi sehinggalah ke hari ini yang sekali gus memberi simbol kulinari khas istimewa di Daerah Temburong. Namun tahukah anda apakah daun yang digunakan untuk membungkus kuih istimewa berkenaan.

Semasa ditemui, salah seorang pengusaha kuih tradisi Wajid Jawa yang berasal di daerah yang terkenal dengan julukan ‘Permata Hijau Brunei’, Dayang Ria Danawarti binti Umar menjelaskan adapun kuih tradisi berkenaan dibungkus menggunakan daun nyirik dan disemat dengan potongan kecil batang atau lidi asli dari kelapa sawit sehingga berbentuk empat segi memanjang seakan sama besarnya dengan jari manis.

“Pastikan adunan yang telah siap dimasak itu sudah sejuk atau tidak dalam keadaan panas apabila dibungkus. Namun apa yang mustahak juga ialah kebersihan bahan-bahan seperti daun nyirik dan batang kecil atau lidi yang digunakan itu perlu dititikberatkan agar dapat menghasilkan kualiti kuih wajid yang baik dan tahan lama,” ujarnya dengan penuh keyakinan.

Anyaman kraf tangan daun bamban

Selain itu, daun bamban juga merupakan salah satu daun semula jadi yang dapat digunakan untuk menghasilkan variasi produk barangan kraf tangan anyaman yang sememangnya memiliki kegunaan yang tersendiri.

Menurut salah seorang pengusaha kraf tangan anyaman yang berasal dari Kampung Melilas, Daerah Belait, Hajah Nuraliyah binti Abdullah Talit semasa ditemui penulis, baru-baru ini, menjelaskan kebiasaannya daun berkenan diperolehi di kawasan hutan belukar di Kampung Melilas dan juga berdekatan dengan tebing-tebing sungai.

“Setelah memperolehi bahan-bahan asas dan menjalankan proses-proses tertentu seperti sesi menghalusi dan pengeringan, kemudian baharulah boleh diciptakan rekaan barangan anyaman yang menarik dengan pelbagai bentuk dan saiz seperti, nyiru, bakul, siraung, tikar, beg, dan sebagainya.

“Inilah antara produk-produk kraf tangan bersumberkan bahan-bahan alam semula jadi yang perlu dimartabatkan oleh generasi-generasi muda kini agar ia tidak pupus ditelan zaman,” jelas beliau yang sudah bergiat dalam dunia kesenian kraf tangan anyaman ini sejak tahun 1989 dengan senyuman manis semasa mengakhiri kata-katanya bersama Media Permata, baru-baru ini

Bersama melestarikan alam sekitar

Hakikatnya, penggunaan daun semula jadi dalam pembungkusan makanan secara tidak langsung menyumbang pada kelestarian alam sekitar. Hal ini kerana bahan alami yang lebih mudah dilupuskan berbanding bungkusan yang diperbuat daripada plastik.

Oleh itu, bersama-samalah kita memanfaatkan sumber bahan semula jadi dalam kehidupan sehari-hari yang bukan hanya mempunyai kebaikan kepada kesegaran makanan yang dikonsumsi malah turut mendidik diri dan keluarga serta masyarakat amnya dengan memulihara bumi di tempat kita berpijak ini daripada ancaman pencemaran penggunaan plastik yang berlebihan.