LAZIMNYA ada di kalangan ibu bapa yang berasa risau apabila anak lelaki mereka yang baru lahir menghidap angin pasang atau hernia. Dalam kalangan anak damit yang baru lahir, bagi anak damit lahir secara pramatang adalah lebih cenderung untuk menghidap angin pasang berbanding anak damit yang lahir secara cukup bulan.
Hernia lazimnya berlaku pada pangkal paha dinamakan inguinal hernia dan femoral hernia. Hernia juga boleh berlaku di kawasan pertengahan bahagian depan abdomen dikenali sebagai epigastric (bahagian atas pada abdomen), paraumbilical (atas dan bawah umbilicus) dan umbilical hernia (pada umbilicus).
Namun, hakikatnya hernia juga boleh terjadi terhadap golongan lelaki dewasa dan juga golongan wanita. Ramai yang tidak menyedari bahawa mereka mempunyai Hernia sehingga menjalankan pemeriksaan kesihatan disebabkan masalah lain.
Hernia tidak memperlihatkan sebarang simptom seperti sakit yang menyebabkan ramai tidak peka terhadap ‘kehadirannya’. Hernia adalah benjolan tidak normal yang berlaku dari satu kaviti ke kaviti lain.
Paling kerap ditemui adalah hernia inguinal yang muncul di kawasan sekitar ari-ari dan pangkal paha. Malah benjolan boleh besar sehingga ke bahagian kerandut kerana bahagian otot dinding kulit yang lemah terlalu besar.
Komplikasi berlaku apabila bahagian terkeluar contohnya usus, mati akibat halangan untuk masuk kembali dan tisu terbabit tercekik di laluan itu menyebabkan iskimia iaitu darah tidak dapat mengalir ke bahagian berkenaan dan akhirnya gangren.

Jika kuman mula menyerang bahagian yang mati, ia boleh mengancam nyawa. Sebab itu pengesanan dan rawatan awal adalah amat penting bagi mengelakkan sebarang komplikasi. Kejadian bonjolan yang sekejap ada dan sekejap tiada itu dirujuk sebagai ‘angin pasang’. Sebenarnya terma ini adalah tidak tepat kerana bonjolan itu bukan seketul angin, sebaliknya sebahagian daripada usus kecil atau besar keluar dari abdomen dan terperangkap di luar abdomen.
Pada orang dewasa, Hernia terjadi kerana tekanan yang tinggi dalam rongga perut dan kelemahan otot dinding perut kerana faktor usia. Tekanan dalam perut meningkat disebabkan oleh batuk yang kronik, susah buang air besar, pembesaran prostat pada lelaki, serta mereka yang sering mengangkat objek berat.
Masalah Hernia tidak boleh dipandang ringan kerana jika lambat mendapatkan rawatan, ia boleh menyebabkan komplikasi yang mampu membawa maut.
Hernia dalam kalangan lelaki dewasa jarang dibincangkan kerana ramai yang masih bersifat ‘tabo’ membabitkan alat sulit lelaki. Ia juga kerap terjadi dalam lingkungan lelaki berusia 50 tahun ke atas tetapi ada sesetengah kes membabitkan golongan awal 30-an.
Sementara, Hernia yang berlaku dalam kalangan warga tua sama ada disebabkan adanya jalan yang terbentuk ketika perkembangan fetus, bukaan sedia ada dalam ruang abdomen atau kawasan dinding abdomen lemah oleh sesuatu keadaan.
Apa jua keadaan yang menyebabkan peningkatan tekanan dalam ruang abdomen boleh menyumbang kepada pembentukan Hernia atau menyebabkan menjadi lebih teruk.
Selain itu, antara risiko yang meningkatkan Hernia juga adalah obesiti, mengangkat objek berat, batuk, meneran ketika membuang air besar atau kecil, penyakit paru-paru kronik dan ada cecair di dalam abdomen.
































