Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Kepentingan komunikasi dalam kekeluargaan

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Al-Hufaaz Management telah menganjurkan Forum Keluargaku Harapanku bersempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan yang berjudul ‘Biar Hilang Mubail, Jangan Hilang Keluarga’ secara maya melalui aplikasi Zoom, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada forum tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin. Ia turut disertai oleh lebih 300 buah keluarga.

    Forum itu menyaksikan perbincangan dan perkongsian dari tiga orang panel jemputan terdiri daripada Pegawai Agama, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Mohammad Nasyith bin Superi; Pegawai Perkembangan Ugama, PDI, KHEU, Dayang Nurhuwaina binti Mamud; dan pengasas dan Kaunselor Cureheart, Hajah Norajleen Uminatul Hafizan binti Haji Alimas serta Ketua Pegawai Eksekutif, Al-Huffaz Management, Haji Mohammad Loqman Al-Hakim bin Haji Hamdan, selaku moderator forum tersebut.

    Perkara yang disentuh dalam forum tersebut adalah mengenai kepentingan komunikasi dalam sesebuah keluarga antaranya dalam kalangan anak-anak dan ibu bapa atau penjaga dalam kehidupan sehari-hari, lebih-lebih lagi dalam menggapai keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

    Di samping itu, para panel turut menekankan bahawa meskipun dengan kesibukan menempuhi cabaran pekerjaan mahupun pembelajaran namun adalah mustahak bagi kita sebagai anak-anak untuk membahagikan masa semampu mungkin untuk bersama orang-orang tua atau adik-beradik yang lain agar jalinan kekeluargaan sentiasa bersemi dari semasa ke semasa.

    Selain itu, forum tersebut merupakan sebuah platform majlis ilmu yang diadakan setiap tahun bersempena dengan Hari Keluarga Kebangsaan yang sentiasa membincangkan topik-topik yang memberikan inspirasi, pengajaran dan ilmu pengetahuan kepada orang ramai mengenai kepentingan nilai kekeluargaan khususnya di Negara Brunei Darussalam.

    Ia juga bertujuan untuk membuka minda dan menyucikan jiwa semua pihak dalam sama-sama menempuhi liku-liku cabaran dalam kehidupan berkeluarga selaras dengan amalan-amalan terbaik yang dituntut dalam agama Islam.

    Turut hadir ialah setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap KKBS, pegawai dan kakitangan kerajaan, agensi swasta dan persatuan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

    Awang Mohammad Nasyith, Dayang Nurhuwaina, Hajah Norajleen dan Awang Mohammad Loqman antara yang hadir pada sesi perbincangan dan perkongsian forum tersebut.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...