Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kepentingan tali pinggang keledar

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Daripada jumlah kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa tahun ini, empat daripadanya adalah berpunca sama ada pemandu atau penumpang yang terkorban itu tidak memakai tali pinggang keledar.

    Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Dr Haji Supry bin Haji Awang Ladi pada sidang media semalam menjelaskan dapatan berkenaan adalah hasil laporan awal dan lawatan ke tempat kejadian serta penelitian lanjut dari sudut kecederaan mangsa yang terkorban dan kerosakan kenderaan serta aspek-aspek lain yang berkaitan.

    Laporan hasil lawatan itu juga mendapati pemandu atau penumpang yang menggunakan tali pinggang keledar semasa kejadian berlaku mendapat kecederaan sahaja.

    “Dengan itu, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) menyeru semua pemandu dan mana-mana penumpang sama ada di depan atau di belakang supaya menggunakan tali pinggang keledar apabila membuat sebarang perjalanan walaupun dalam jarak dekat. Ini kerana apabila kita berada di jalan raya, apa-apa boleh berlaku tanpa dijangka,” jelasnya.

    Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan juga Program Penilaian Kereta Baharu (NCAP) menunjukkan bahawa memakai tali pinggang keledar apabila terlibat dalam kemalangan akan meningkatkan tahap keselamatan sehingga 50 peratus bagi pemandu dan penumpang di hadapan.

    Dr Haji Supry ketika menjelaskan mengenai dapatan laporan awal tersebut.
    Antara nahas kemalangan jalan raya yang terjadi baru-baru ini.

    Kempen-kempen telah dibuat sebelum ini dan akan dibuat secara berterusan. Daripada pemantauan dan operasi sejak awal tahun ini, menunjukkan masih ada lagi pemandu atau penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar.

    Menurut beliau lagi, statistik daripada JSKLL mendapati sebanyak 1,373 kes tidak menggunakan tali pinggang keledar pada tahun 2017 dan dari bulan Januari hingga Julai 2018 sebanyak 381 kes telah dilaporkan.

    Pemangku Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud turut menambah bahawa operasi bergerak Bahagian Penguatkuasaan JPD juga mendapati 22 pemandu telah dikompaun dan dikenakan mata demerit SiKAP dari bulan April hingga Julai 2018.

    Kegagalan pemandu mematuhi akta dan peraturan yang telah ditetapkan khusus bagi kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar semasa memandu akan dikenakan kompaun dan mata demerit iaitu kesalahan pertama $150 dan sembilan mata demerit SiKAP, kesalahan kedua sebanyak $300 dan sembilan mata demerit SiKAP dan bagi pemandu baru, lesen memandu akan dibatalkan selama setahun. Manakala kesalahan ketiga sebanyak $500 dan sembilan mata demerit SiKAP dan lesen memandu digantung selama tiga bulan diikuti dengan kesalahan keempat yang mana pemandu boleh dihadapkan ke mahkamah dengan jumlah kompaun yang lebih tinggi.

    MKKJR dengan tegasnya menyeru orang ramai menggunakan tali pinggang keledar demi menyelamatkan nyawa serta menerapkan ke dalam minda semua bahawa keselamatan itu adalah yang utama dalam aspek kehidupan, masyarakat dan perkongsian jalan raya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda