Kepentingan teknologi digital ketika COVID-19

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Kepentingan teknologi digital dalam mendukung usaha membendung penularan wabak COVID-19 dan mengukuhkan kerjasama dalam perkembangan serta inovasi ICT dan ekonomi digital telah dibincangkan semasa Majlis Pembukaan Rasmi 2020 ASEAN-China Year of Digital Economy Cooperation yang diadakan secara persidangan video, hari ini.

Majlis perasmian berkenaan telah dihadiri oleh menteri-menteri ASEAN dan Republik Rakyat China yang bertanggungjawab ke atas sektor ICT dan ekonomi digital serta setiausaha agung ASEAN.

Mewakili Negara Brunei Darussalam pada majlis itu ialah Menteri Pengangkutan dan Info-komunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, hari ini, dengan bertemakan Combating COVID-19 Through Joint Efforts, Embracing Cooperation Through ICT and Digital Development, majlis mendengarkan ucapan pembukaan daripada Menteri Pos dan Telekomunikasi, Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Dr Thansamay Kommasith selaku pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri Digital ASEAN dan Setiausaha Agung ASEAN, TYT Dato Paduka Lim Jock Hoi.

Selain itu, Menteri Industri dan Teknologi Maklumat, Republik Rakyat China, TYT Miao Wei dalam ucapannya antara lain telah memperkenalkan mengenai inisiatif-inisiatif membangunkan perkongsian bagi ekonomi digital antara ASEAN dan China.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib (dua, kiri) ketika persidangan tersebut. – Gambar serahan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi

Dalam kenyataannya, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi mengongsikan inisiatif berlandaskan teknologi digital yang dilaksanakan di Negara Brunei Darussalam dalam menangani wabak COVID-19.

Dengan memanfaatkan teknologi terkini seperti Artificial Intelligence (AI) dan Big Data, beliau menjelaskan, penganalisisan keadaan kesihatan dapat dilaksanakan melalui aplikasi BruHealth yang telah dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Selain itu, BruHealth juga berperanan sebagai sumber bagi maklumat sahih dan rasmi berkaitan COVID-19.

Peningkatan dalam penggunaan perkhidmatan dalam talian oleh sektor awam, swasta dan masyarakat kini menjadi norma baharu yang dimudah cara dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, dan syarikat-syarikat telekomunikasi.

Yang Berhormat Dato turut mengongsikan mengenai perkembangan sektor infokomunikasi di Negara Brunei Darussalam, antaranya penstrukturan semula sektor ICT pada 24 Januari 2020 yang menyatukan semua rangkaian infrastruktur telekomunikasi di bawah sebuah syarikat milik kerajaan.

Daripada penstrukturan berkenaan telah membawa peningkatan dalam kadar penggunaan perkhidmatan ICT di mana permintaan bagi jalur lebar tetap meningkat empat kali ganda sementara itu, penggunaan data tetap dan data mudah alih masing-masing meningkat sebanyak 60 peratus dan 23 peratus.

Berkuat kuasa pada tarikh yang sama, kerajaan juga telah menstrukturkan semula aturan pengawalseliaan dan pelesenan telekomunikasi dengan tidak lagi mengenakan bayaran lesen tahunan bagi setiap pelanggan perkhidmatan mudah alih di Brunei.

Yang Berhormat Dato juga mengongsikan mengenai pelancaran Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 pada 4 Jun 2020 yang memberikan hala tuju ke arah transformasi digital dalam pelbagai kluster ekonomi. Dalam hal ini, teknologi seperti big data, AI dan 5G adalah antara kemajuan teknologi yang giat diusahakan pada masa ini.

Negara Brunei Darussalam telah menubuhkan National 5G Taskforce yang terdiri daripada pihak kerajaan, industri dan akademia bagi membuat penelitian ke atas potensi dan peluang daripada teknologi 5G. Pasukan petugas berkenaan akan menghasilkan cadangan dari pelbagai perspektif mengenai 5G untuk Negara Brunei Darussalam.

Di samping itu, Yang Berhormat Dato juga menekankan peranan ekonomi digital dalam menghadapi penularan wabak COVID-19. Dari itu, kerjasama serantau adalah penting untuk mengukuhkan usaha masing-masing, bukan sahaja dalam mengatasi cabaran berikutan penularan COVID-19, tetapi juga untuk perkembangan sosial dan ekonomi yang kukuh.

Dalam hal ini, Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan pelaksanaan program dan inisiatif di bawah platform Mesyuarat Menteri-menteri Digital ASEAN + China, khususnya yang berkaitan dengan ekonomi digital untuk manfaat dan kepentingan bersama.

Turut hadir semasa majlis perasmian berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi, Keselamatan Siber, Strategi dan Korporat) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim selaku ketua Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Digital ASEAN (ADGSOM) bagi Brunei Darussalam; Pemangku Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi (AITI), Haji Jailani bin Haji Buntar berserta pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan AITI.