Keperitan hidup harus dilalui

HOMS, Syria – Tidak mudah buat Rabea Sahloul yang berusia 43 tahun untuk memulakan kehidupan baru secara bersendirian di dalam kawasan kejiranan yang teruk terjejas di Bandaraya Homs, di mana jiran dan rakan-rakan sebayanya tidak lagi berada di sana.

Orang mengatakan bahawa rasa kesunyian atau terasa asing bukanlah hanya ketika anda kehilangan rumah anda semata-mata, namun juga apabila orang yang tersayang tidak lagi berada di sisi seperti rakan-rakan dan juga jiran tetangga, kerana mereka telah membangkitkan rasa kehidupan yang begitu bermakna.

Apabila peperangan bermula di Homs, tengah Syria pada tahun 2011, Sahloul telah membawa isteri dan empat orang anaknya ke tempat yang lebih selamat di daerah kejiranan Hamidiyeh di bahagian lama Homs, meninggalkan kenangan zaman kanak-kanaknya dan juga rumah serta bengkel yang diwarisi dari bapanya.

Sepanjang beberapa tahun perpindahan, impiannya adalah untuk kembali semula hidup seperti dahulu bersama isteri dan anak-anaknya, namun itu tidak akan tercapai dengan cepat.

Setelah empat tahun pemindahannya, Sahloul telah kembali semula ke rumah asalnya, begitu juga bengkel dan kawasan kejiranannya.

Rabea Sahloul memberi makan sekumpulan itik dan ayam berdekatan bengkelnya di Hamidiyeh. – Xinhua

Apabila tiba di kedainya di Hamidiyeh, Sahloul sangat terkejut dengan jumlah kemusnahan yang menimpa di kawasan perumahannya dan juga seluruh kawasan di sana.

Dia sangat terkejut dan kecewa, sambil berkata kesedihan itu telah membuatkannya menghidap penyakit diabetes.

“Apabila saya kembali, saya mendapati rumah dan bengkel saya hancur dan terbakar dan itu adalah kejutan dalam hidup saya. Saya terkejut melihat suasananya. Perasaan sedih dan terkejut membuatkan saya menghidap diabetes,” katanya kepada Xinhua.

Tetapi apabila dia mula menyedari bahawa kesakitan dan kekecewaan tidak akan mengembalikan kehidupannya, dia cuba untuk kuat dengan membina semula kehidupannya, walaupun secara bersendirian. Dia adalah orang yang pertama kembali semula ke Hamidiyeh.

“Selepas membuat pertimbangan secara mendalam, saya menyedari bahawa saya perlu mula dari bawah kerana hidup mesti diteruskan. Jadi saya mula melakukan kesemua pekerjaan secara bersendiran,” katanya.

Dia mengatakan bahawa dia telah membersihkan kawasan itu setiap hari dari kedai sehinggalah rumahnya.

Hari demi hari dan beberapa bulan telah berlalu, lelaki itu berazam untuk meneruskan perniagaannya, dengan membaiki kedai dan rumahnya dalam satu masa, melakukan semua pekerjaan secara bersendiran dengan sedikit bantuan daripada beberapa pekerja yang bersetuju untuk memasuki ‘bandar hantu’ itu.

Dia membaiki dinding bengkelnya dan membina semula tangga ke rumahnya, dan membuat pintu kayu baru. Dinding rumahnya dicat dengan warna putih.

Kerja-kerja pembinaan semula itu mengambil masa setahun dua bulan, dan apabila rumah itu dapat didiami, dia membawa pulang keluarganya. Namun, dia masih bersendirian di kawasan kejiranan itu, yang mana masih diambang kemusnahan.

Salah satu mekanisme yang Sahloul berjaya hadapi adalah untuk mengembalikan suasana kehidupan di sana kerana dia merasa kesepian bersama dengan keluarganya dan ianya adalah mustahil untuk memulakan kehidupan tanpa adanya kelompok masyarakat, jadi dia mencari alternatif lain.

Dia membawa itik, ayam, dan merpati dan ia telah menjadi jiran baru untuk diluangkan masa bersama sepanjang hari.

“Idea ini wujud apabila saya terfikir yang saya perlukan sesuatu untuk membawa kehidupan kembali, dengan memberikan pandangan yang optimis kepada mereka yang melaluinya. Jadi saya membawa itik dan angsa, begitu juga ayam. Saya mula membesarkan dan menternaknya,” katanya.

“Jadi kini, apabila orang ramai melewati jalan ini, mereka dapat melihat suatu pemandangan yang berbeza. Mereka juga dapat mencari kehidupan yang baru,” tambahnya.

Rabea Sahloul (kiri) duduk di depan bengkel bersama rakannya di Hamidiyeh. – Xinhua
Satu-satunya perkara yang mendorong penduduk adalah harapan. Mereka yang kembali semula perlu bermula dari bawah untuk mencipta hidup baru selepas mengalami keruntuhan peperangan samaada di Homs atau di tempat lain di Syria. – Xinhua

Kini, orang yang melalui kawasan ini akan mendengar bunyi kuek itik dari beberapa meter jauhnya, mewarnai kehidupan di kawasan itu yang terasa kosong dan sunyi.

Tetapi sebagai seorang manusia, dia kadang-kadangnya akan merasa lesu dan tidak bersemangat apabila mengenang kembali ruang kehidupan yang dihadapi. Namun, harapannya masih setinggi menara walaupun dilanda kesedihan.

“Setiap kali saya merasa sedih dan tidak bersemangat, saya fikir saya harus berpegang teguh kepada harapan saya dan menjadi lebih aktif dan positif. Ini telah membantu saya untuk mengatasi keadaan yang dahsyat ini,” katanya.

Kini, sahabat Sahloul telah kembali semula ke kawasan kejiranan tersebut, seorang lelaki berusia yang mendapat dorongan daripada tukang kayu muda itu.

Dia juga menghabiskan masa dengannya dan juga memberi makan kepada itik-itik di sana, sementara Sahloul juga membuat kerja-kerja pertukangan bagi penduduk yang beransur kembali tinggal di rumah mereka yang rosak.

Satu-satunya perkara yang mendorong penduduk ini adalah harapan. Mereka yang kembali semula itu juga mula dari bawah untuk mencipta hidup yang baru selepas mengalami keruntuhan samaada di Homs atau di tempat lain di Syria. Harapan adalah satu inspirasi dan pengalaman yang menyelamatkan jiwa masyarakat.

Tetapi orang-orang ini juga ingin mendapatkan bantuan tambahan daripada organisasi kerajaan atau kemanusiaan untuk membantu mereka dalam membangunkan rumah dan kawasan kejiranan di sana, walaupun pada hakikatnya keseluruhan bangunan itu perlu dimusnahkan dan dibina semula dari awal kerana ia tidak dapat diperbaiki.

Di kawasan-kawasan lain yang telah rosak, di mana pasar-pasar lama berada, beberapa kerja-kerja pemulihan telah bermula dan beberapa kedai ‘souk’ yang dilindungi telah dipulihkan, kerana kumpulan pemberontak, termasuk kumpulan yang berkaitan dengan al-Qaida, telah dihalau dari bandar lama Homs pada tahun 2014.

Hayat Awad, seorang pegawai di pejabat gabenor, memberitahu Xinhua bahawa bahagian lama Homs telah mengalami kerosakan yang teruk akibat daripada bedilan militan bersenjata, dengan menyatakan bahawa 13 kawasan kejiranan lama Homs telah mengalami kerosakan sebanyak 70 peratus.

Beliau menambah bahawa orang awam telah mula kembali ke kawasan yang mengalami kerosakan sebanyak 30 peratus, selepas beberapa pasukan kejuruteraan kerajaan dihantar untuk menilai keadaan bangunan.

Air dan elektrik telah kembali pulih di kawasan lama Homs agar penduduk di sana dapat melakukan aktiviti harian mereka selepas dilanda peperangan selama beberapa tahun. – Xinhua