Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Keperitan hidup masa kecil bakar semangat juang politik Rara

    Oleh Nina Muslim

    KUALA LUMPUR – Seraut wajah lembut dengan bibir yang sentiasa menguntum senyuman dan bagi Yang Berhormat Young Syefura Othman, setiap soalan yang penulis ajukan sepanjang temu bual di bilik makan Dewan Rakyat selama lebih sejam dijawab dengan tenang.

    Mesra dikenali ramai dengan nama Rara, ahli Parlimen (Bentong) yang berusia 33 tahun ini begitu santai dengan jawapannya, mungkin beliau sudah ‘berlatih’ untuk menjawab soalan namun ada juga yang dijawab secara spontan.

    Ketika berkongsi kisah zaman kanak-kanaknya dan menjejak kembali perjalanan hidupnya dalam dunia politik, penulis merasakan Rara agak berhati-hati dalam memberikan komen, meskipun senyuman tidak lekang di bibirnya.

    Abang Rara, Fyrol Othman, 38, memberitahu penulis adiknya (Rara) memang begitu sifatnya, menggambarkan Rara sebagai seorang yang reserved.

    Rara sendiri mengakui dirinya seorang pemalu dan tidak suka bergaul introvert semasa di sekolah rendah berbanding dirinya sekarang, namun abangnya berkata, ada kalanya Rara masih seorang pendiam.

    Gambar fail Jun 2022 menunjukkan Young Syefura Othman (duduk, kanan) pada pelancaran musim kedua menuai buah Tin Benefigs, di Kampung Janda Baik. – Bernama
    Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman pada sesi temu bual bersama Bernama di Bangunan Parlimen baru-baru ini. – Bernama

    “Dia tak suka bawa mulut. Dia jarang nak bercerita hal peribadinya dengan orang lain,” kata Fyrol, menambah, adiknya itu lebih suka memendam rasa dan hanya berkongsi perasaan dengan ibu dan rakan-rakannya.

    Untuk berjaya dalam dunia politik, lazimnya, seseorang itu perlu bersikap extrovert dan suka bergaul dengan orang dan menurut keluarga serta rakan Rara, Rara bukan begitu. Malah rakan karibnya, Nur Suhaila, lebih dikenali sebagai Lala, menyifatkan Rara sebagai ‘garang’.

    Pembabitan Rara dalam dunia politik membuka banyak mata, apa tidaknya kerana bukan ramai wanita Melayu menyertai parti politik bukan Melayu. Keputusan Rara menyertai parti yang didominasi kaum Cina iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada tahun 2014 memeranjatkan keluarga serta sanak saudara yang menjadi ahli UMNO, PKR, PAS atau Amanah.

    Kini beliau bukan sahaja beberapa kerat orang Melayu dalam DAP tetapi beliau juga Timbalan Ketua Pemuda DAP.

    Pada tahun 2018, Rara menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri, Ketari (Pahang) dan sekali lagi menunjukkan kehebatan apabila menang kerusi Parlimen Bentong (Pahang) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan menewaskan empat calon lelaki termasuk dua ahli politik veteran. Beliau adalah antara 30 orang calon wanita yang menang dalam PRU15 itu.

    Pakar isu gender, Dr Zaireeni Azmi memberitahu Bernama, ketika beliau memantau keadaan di lapangan, beliau mendapati ramai yang kurang yakin Rara boleh menang.

    “Satu perkara, kerana Rara seorang wanita dan beliau berdepan dengan Wong Tack (Ahli Parlimen Bentong yang mempertahankan kerusinya), ” kata beliau, menambah, Rara berhadapan pertandingan lebih sengit di Ketari.

    Berdikari sejak kecil

    Dilahirkan di Perak pada 10 November 1989, Rara adalah satu-satunya anak perempuan pasangan Othman Ariffin dan Umi Kalsom Daud.

    Menurut anak keenam daripada tujuh beradik ini, walaupun beliau anak perempuan tunggal, beliau bukan ‘anak emas’.

    “Saya terima layanan yang sama, dilayan seperti anak lelaki yang lain sebab tu dari kecil dah memang berdikari, ” katanya.

    Menurut beliau, semasa kecil, keluarganya banyak kali berpindah-randah. Ada kalanya ke negeri lain untuk mencari kerja atau ke kejiranan lain apabila keluarganya tidak dapat membayar sewa rumah.

    Ayahnya ketika itu bekerja sebagai kerani dengan Angkatan Tentera Malaysia sementara ibunya berniaga makanan untuk menambah pendapatan keluarga.

    “Pengalaman pindah rumah tu memang banyak. Perkara positif berpindah-randah saya memang banyak kawan,” katanya sambil ketawa.

    Menurut beliau, kehidupan masa kecil menjadikan diri beliau dapat berdiri di atas kaki sendiri yakni berdikari.

    Semasa membesar, beliau rapat dengan Fyrol, adik lelakinya serta ibunya. Minatnya dalam politik bercambah dengan penglibatan keluarganya dalam menyertai protes politik termasuk Reformasi dan Bersih.

    Ketika Rara berusia 12 tahun, ibunya menghidapi penyakit kanser payudara dan beliau serta adik lelakinya yang berusia tujuh tahun sama-sama menjaga ibu mereka sehinggalah ibu mereka pulih sepenuhnya dua tahun kemudian. Semua abang mereka ketika itu sudah besar dan berpindah ke tempat lain.

    “Bila melihat penderitaan ibu, bila melihat bagaimana ayah menanggung anak yang ramai, ia memberi kesan jugalah,” kata Rara yang kemudiannya memilih kerjaya jururawat dan melibatkan diri dalam BERSIH 2.0 dan DAP.

    Pada tahun 2016, beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kajang.

    Rara berkahwin sebanyak dua kali – yang pertama pada tahun 2016 dan bercerai pada 2019. Beliau kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan Muhammad Edrin Nordin pada tahun 2021.

    Banyak cabaran wanita dalam dunia politik

    Kehidupan masa kecil yang agak susah membuatkan Rara bertekad untuk menggunakan apa yang dipelajari serta dialami untuk membela nasib mereka yang kurang bernasib termasuk memperjuangkan isu perumahan dan pekerjaan.

    Di samping itu, Rara juga mahu menangani isu ekonomi tempatan dan perubahan iklim. Isu lain yang turut menjadi fokus beliau adalah isu berkaitan kanak-kanak iaitu perkahwinan kanak-kanak (perkahwinan bawah umur), hak kanak-kanak untuk pendidikan tanpa mengira status kewarganegaraan dan kanak-kanak tanpa negara, yang dilahirkan di Malaysia.

    Ketika beliau begitu bersemangat untuk membantu penduduk dan masyarakat setempat di kawasan kerusi Parlimen yang dimenanginya, Rara mengaku bahawa bukan mudah untuk beliau melakukannya, apatah lagi bagi seorang wanita muda dalam kancah politik tanah air.

    “Sekali buat silap, orang akan tegur, orang akan pantau. Tekanan sangat besar,” katanya.

    “Kerana kita kekurangan pemimpin wanita … terutama yang muda-muda. Jadi sebab itu kadang-kadang kita menerima banyak sangat perhatian daripada orang awam, daripada media dan sebagainya,” tambahnya.

    Di sebalik pelbagai tekanan dan kesulitan, Rara bernasib kerana mendapat sokongan padu suami, keluarga, rakan serta rakan sejawat yang rata-rata yakin beliau sekurang-kurangnya dapat mencapai sebahagian daripada sasarannya.

    Rakan baiknya, Lala, yang bekerja sebagai eksekutif kandungan serta kreatif di CreateHub yakin Rara adalah masa depan Malaysia dan mampu berkhidmat cemerlang sebagai wakil rakyat.

    “Bagi saya Rara dilahirkan sebagai pemimpin. Beliau selalu memikirkan masalah orang lain sama ada beliau seorang ahli politik atau tidak. Saya yakin Rara adalah seorang yang awda boleh harapkan,” kata beliau kepada Bernama menerusi WhatsApp.

    Ketua Pemuda DAP dan Ahli Parlimen Kuching Dr Kelvin Yii berkongsi pandangan Lala dengan menambah, beliau kagum dengan etika kerja Rara dan menyifatkan beliau sebagai aset negara.

    “Saya lihat bagaimana beliau berurusan dengan orang awam (sewaktu beliau menjadi ahli majlis perbandaran) juga isu yang berkaitan. Beliau begitu mengambil berat akan isu-isu yang diketengahkan,” katanya.

    Abang Rara, Fyrol juga berpandangan adiknya itu mampu meningkat lebih tinggi dalam bidang politik yang diceburinya.

    Di sebalik pujian yang diterima Rara, memanglah ada yang mengkritik serta mengecam beliau dan paling teruk semasa kempen pilihan raya. Kini kritikan dilayangkan dalam talian dan oleh mereka yang tidak bernama di media sosial.

    Rara sebenarnya berpijak di bumi nyata. Meskipun banyak menerima pujian sepanjang beliau menceburi bidang politik tanah air, beliau tidak mahu selama-lamanya menjadi ahli politik.

    “Buat masa ini, sasaran saya 10 tahun dulu. Mungkin saya perbaharui setiap 10 tahun. Kini sudah ada 10 tahun (dari tahun 2013), jadi saya ada 10 tahun lagi. Kita kena tengok juga. Ada kalanya jangan syok sendiri sangat,” katanya, sambil menguntumkan senyuman. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...