Thursday, May 1, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keperluan azam untuk melakukan sembahyang

    minda_logo indahnya Islam

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    SEMBAHYANG fardhu lima waktu merupakan rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh semua umat Islam yang mukallaf. Kewajipan tersebut tidak boleh diabaikan atau dicuaikan. Oleh kerana itu, kita hendaklah melaksanakan ibadat sembahyang dengan baik dan sempurna, termasuklah dalam menjaga waktu sembahyang.

    Menunaikan sembahyang fardhu itu lebih afdhal dilakukan pada awal waktu walaupun sembahyang Isyak, menurut pendapat yang muktamad. Diriwayatkan oleh Ummu Farwah Radhiallahu ‘anha, katanya yang maksudnya:

    “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam pernah ditanya, apakah amalan-amalan yang paling afdhal? Baginda menjawab: “Sembahyang pada awal waktunya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

    Hadis-hadis lain yang menerangkan kelebihan awal waktu itu, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu katanya yang maksudnya:

    “Saya telah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam tentang amalan-amalan yang lebih disukai oleh Allah Ta‘ala? Sabda Baginda: Sembahyang pada waktunya. Aku (‘Abdullah) bertanya: “Kemudian apa? Sabda Baginda: “Kemudian berbuat baik kepada ibu bapa. Aku bertanya: “Kemudian apa? Baginda bersabda: “Kemudian jihad pada jalan Allah.” (Hadis riwayat Muslim)

    Itulah fadilat dan kelebihan bagi orang-orang yang menunaikan sembahyang pada awal waktu. Akan tetapi bagaimana pula hukumnya bagi orang yang melambat-lambatkan sembahyang?

    Hukum melambat-lambatkan sembahyang

    Harus menangguhkan sembahyang fardhu dari awal waktunya, akan tetapi wajib berazam untuk menunaikan sembahyang itu di dalam waktunya. Walaupun harus menangguhkan sembahyang itu setelah berazam, akan tetapi haram melambat-lambatkannya sehingga ke suatu waktu yang tidak cukup masa untuk memenuhi semua rukun yang fardhu dalam sembahyang.

    Apakah yang dimaksudkan dengan azam?

    Menurut ulama usul fikah bahawa sebaik sahaja seorang itu mukallaf, maka wajib dia berazam (iaitu berniat atau memutuskan dalam hati) akan mematuhi semua perintah dan larangan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Azam jenis ini disebut sebagai “azam am,” kerana ia berkaitan dengan apa sahaja jenis kewajipan yang akan wajib dilakukannya apabila tiba waktu melakukan atau meninggalkannya sepanjang hidupnya.

    Menurut mereka lagi, selain azam am ada juga azam khas. Azam khas ini berkaitan dengan tibanya waktu untuk melakukan sesuatu yang wajib dalam waktunya. Umpamanya jika masuk waktu sembahyang fardhu, maka wajiblah terus melakukannya, atau menangguhkannya, akan tetapi wajib berazam untuk menunaikan sembahyang itu di dalam waktunya.

    Tujuan berazam ini ialah untuk tidak dianggap cuai dan supaya tidak berdosa jika terjadi uzur syarie sebelum sempat melakukannya.

    Apabila masuk waktu wajib berazam

    Apabila masuk waktu sembahyang fardhu, wajiblah dilakukan salah satu dari dua perkara:

    Terus menunaikannya, atau

    Berazam dalam hati untuk menunaikannya dalam waktunya. Menurut pengarang kitab Fath al-‘Allam Rahimahullah, beliau berkata:

    “Sebaik saja masuk waktu (sembahyang fardhu), wajiblah dilakukan salah satu dari dua perkara: “Sama ada melakukannya terus atau berazam melakukannya dalam waktunya. Jika kewajipan ini tidak dilakukan dan tidak berazam akan melakukannya dalam waktunya, maka dia berdosa.”

    Jika sembahyang itu terus ditunaikan, maka kewajipan itu telah terlaksana dan mendapat kelebihan menunaikannya di awal waktu.

    Adapun jika ditangguhkan dari awal waktu setelah berazam, ini bermakna kewajipan itu belum terlaksana. Sekiranya meninggal dunia atau ada halangan untuk melakukannya, seperti datang haid, beranak, pengsan, hilang akal dan lain-lain uzur syarie sehinggalah habis waktu sembahyang, maka tidaklah dia berdosa kerana sudah ada azam. Sebagaimana menurut pengarang Fath al-‘Allam Rahimahullah, beliau berkata:

    “Jika seseorang itu bermaksud untuk melambatkannya daripada awal waktu dan melakukannya dalam waktunya, adalah harus, tetapi dengan syarat pada saat itu dia wajib berazam melakukannya sebelum habis waktunya mengikut qaul yang ashah, di mana sekiranya dia mati dalam waktu itu setelah berazam tetapi belum sempat melakukannya dan waktunya masih cukup untuk melakukannya, maka dia tidak berdosa. Berbeza jika dia tidak melakukan azam tersebut, di mana sekiranya dia mati dalam waktu kewajipan itu sebelum sempat melakukannya, dia adalah berdosa.”

    Oleh yang demikian, jika kita menangguhkan sembahyang pada awal waktu, hendaklah kita berazam untuk menunaikannya pada waktunya.

    Supaya tidak berdosa jika terjadi uzur syarie sebelum sempat melakukannya.

    Walau bagaimanapun, adalah lebih afdhal jika kita menunaikan sembahyang itu pada awal waktu, kerana perbuatan itu amat disukai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda