SIBU, 12 JAN – Kepimpinan cemerlang Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam menerajui Sarawak sejak lapan tahun lepas bukan setakat meraih pengiktirafan dalam negara malah peringkat antarabangsa terutama dari segi penerokaan ekonomi baharu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pengiktirafan itu secara tidak langsung memperkenalkan Sarawak dan menjadi perhatian masyarakat peringkat antarabangsa.
Menurutnya, masyarakat antarabangsa melahirkan rasa kagum dengan usaha gigih Abang Johari membangunkan ekonomi baharu terutama daripada segi sumber tenaga baharu untuk memajukan negeri itu.
“Apabila kita pergi ke luar negara, bila saya katakan saya dari Sarawak mereka akan bercakap mengenai Premier Abang Jo. Jadi di situ kita dapat melihat bagaimana kesan itu telah dibawa ke peringkat antarabangsa,” katanya kepada media selepas penutupan Program Kasih Komuniti dan Advokasi Anti Gangguan Seksual @ Sibu di Dewan Komuniti Sibu Jaya hari ini.
Nancy berkata ucapan-ucapan Abang Johari berbeza dengan pemimpin lain iaitu beliau bercakap mengenai perkara baharu, inovasi dan bagaimana ekonomi Sarawak boleh dipertingkatkan.
“Beliau tidak lagi bercakap mengenai pelancongan, beliau bercakap mengenai perkara-perkara baharu daripada mana-mana pemimpin lain yang boleh jadikan sebagai contoh,” katanya.
Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata sebagai ahli Parlimen dan menteri peringkat Persekutuan dari Sarawak, beliau berasa bangga dengan pencapaian dan pengiktirafan terhadap Premier berkenaan. – Bernama
