Wednesday, June 7, 2023
27.9 C
Brunei

    -

    Kepimpinan dan keperibadian di hati rakyat

    Oleh Haniq Rafael

     

    KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sememangnya memiliki kewibawaan dalam memerintah negara ini sehingga menjadikan bumi Darussalam ini sebuah negara yang aman damai di mana Baginda Sultan bukan hanya dipandang sebagai seorang raja, bahkan kewibawaan Baginda Sultan di dalam memerintah negara amat dipuji apatah lagi personaliti Baginda Sultan yang sememangnya amat dikenali begitu dekat di hati rakyat.

    Di kesempatan ini, penulis sempat menemu bual beberapa orang tentang pandangan mereka mengenai kepimpinan dan keperibadian Baginda Sultan di sepanjang 50 tahun memerintah Negara Brunei Darussalam.

    Mantan Duta Besar Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Handriyo Kusumo Priyo, menetap di Yogyakarta Indonesia dan pada tahun 2010-2013 turut memberikan pandangan beliau secara peribadi tentang Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang menurutnya Baginda Sultan adalah seorang raja dan pemerintah yang memiliki peribadi yang amat terpuji serta begitu dermawan terhadap kepentingan rakyat Baginda dan juga perihal musibah yang melanda negara-negara jiran.

    Apa yang menariknya lagi ujar Handriyo, Kebawah Duli Yang Maha Mulia merupakan seorang raja yang begitu dekat di hati rakyat, begitu mengambil berat tentang keperluan serta kesejahteraan rakyat dan  penduduk Baginda.

    “Satu contoh yang jelas membuktikan Baginda seorang raja yang berkeperibadian tinggi, penyayang dan mempunyai isi hati sebagai seorang raja dan pemerintah yang begitu pengasih bukan hanya kepada rakyat dan penduduk Baginda sendiri tetapi juga kepada negara luar, seperti apa yang pernah menimpa negara jiran iaitu Indonesia di mana satu bencana alam (tsunami) yang menimpa Aceh, Indonesia pada tahun 2004, yang mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia menjadi pemimpin negara pertama yang menjejakkan kaki Baginda di bumi Serambi Mekah berkenan meninjau keadaan bekas kejadian bencana tsunami yang melanda Aceh ketika itu,” tambah Handriyo.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika berkenan beramah mesra dengan Hajah Mordiah.
    Kenangan manis…Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan Anugerah Khidmat Belia Cemerlang kepada Yang Berhormat Awang Iswandy.

    Selaku bekas duta yang pernah menetap di negara ini, Handriyo dan seisi keluarga turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Jubli Emas Baginda Menaiki Takhta, dan mendoakan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia akan sentiasa di dalam lindungan Allah S.W.T, sihat sejahtera di dalam kebahagian dan kekal karar dalam memerintah Negara Brunei Darussalam.

    Manakala mantan Timbalan Pengarah JAPEM, Hajah Mordiah binti Haji Jackia, juga aktif dalam NGOs, MKM, BASMIDA, PSW dan WBC menyatakan Baginda sememangnya terkenal dengan sifat seorang raja yang amat berhemah tinggi, mempunyai tutur kata yang lemah-lembut dan sopan santun serta seorang pemerintah yang dididik dari kecil dengan nilai-nilai pekerti serta tingkah laku yang berasaskan kepada ajaran agama dan ilmu keduniaan yang luas.

    “Tidak hairanlah jika Baginda menjadi seorang pemerintah yang dikasihi dan disegani seluruh rakyat di Negara Brunei Darussalam ini. Di kesempatan ini juga saya ingin menyembahkan ucapan semoga Kebawah Duli Tuan Patik sentiasa di dalam keadaan sihat walafiat, dilanjutkan usia dan kekal karar memerintah ‘Negara Zikir’, Negara Brunei Darussalam dengan petunjuk Allah S.W.T,” tambah Hajah Mordiah.

    Bagi Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad, pula, Kebawah Duli Yang Maha Mulia merupakan seorang raja dan pemerintah yang telah melaksanakan pemerintahan yang disebut sebagai ‘The Caring Monarch’ dan juga ‘The Working Monarch’.

    Baginda sentiasa memastikan kebajikan rakyat terjaga dengan sebaiknya menurut kemampuan negara, serta berkenan membuat lawatan kerja dan bermuzakarah bersama semua peringkat masyarakat dari pihak tertinggi mahupun penuntut yang belajar di institusi pendidikan.

    “Inilah di antara ‘leading by example’ yang diamalkan oleh Baginda dan perkara ini setentunya memberi inspirasi kepada rakyat, terutama para belia kitani untuk mengikut corak kepimpinan Baginda”, tambah Yang Berhormat Awang Iswandy.

    Handriyo Kusumo Priyo bersama keluarga yang kini menetap di Yogyakarta Indonesia.

    “Di kesempatan ini juga saya dengan rendah hati dan amat bersyukur kerana memiliki seorang raja dan pemerintah yang begitu dikasihi rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam bumi bertuah ini ingin menyembahkan ucapan jutaan tahniah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Jubli Emas Baginda Menaiki Takhta dan semoga Baginda akan terus kekal karar memerintah negara tercinta dan menjadikan negara ini terus menikmati keamanan dan keharmonian dengan seluruh lapisan rakyat dan penduduknya hidup bersatu padu di bawah payung kepimpinan Baginda,” tambahnya.

    Manakala pada pandangan Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Pergigian, Dayang Saidah binti Haji Abdul Wahid, menjelaskan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia adalah seorang pemimpin,khalifah dan Ulil Amri dalam pembangunan Brunei Darussalam secara keseluruhannya. Seorang raja yang adil saksama dan bijaksana serta berpandangan jauh.

    “Sebagai Ulil Amri, Baginda telah menerapkan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir yang berkat dan harkat, menjadikan rakyat kuat pegangan agama dan menjauhkan bala dan perkara yang tidak baik.

    “Selain mewajibkan sekolah agama sebagai asas dan tiang ke arah pembentukan insan yang berakhlak tinggi dalam menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang berdaya saing dengan elemen-elemen yang sihat,” jelasnya.

    Di kesempatan ini beliau turut menjunjung kasih kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Jubli Emas 50 Tahun Baginda Menaiki Takhta dan mendoakan semoga Baginda di dalam  keadaan sihat sejahtera, kekal karar memerintah negara bumi bertuah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    NZ ambil tindakan penggunaan vape

    WELLINGTON, 6 JUN - New Zealand akan mengambil tindakan tegas terhadap penggunaan vape atau rokok elektronik untuk melindungi golongan mudanya, umum Menteri Kesihatan Ayesha...
    - Advertisment -