Tuesday, March 25, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kepimpinan melalui tauladan

    Oleh Dr. Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong

     

    DENGAN rasa syukur pada Allah Subhanahu Wata’ala sebagai rakyat dan penduduk negara ini, kita menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena 50 tahun Baginda menaiki takhta kerajaan.

    Kepimpinan dan kebijaksanaan Baginda Sultan dalam menerajui negara ini menjadi role model kepada rakyat dan penduduk dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Kewibawaan dan karisma yang Baginda miliki adalah hasil didikan yang Baginda terima sejak dari zaman masa kecil hingga ke peringkat dewasa. Keperibadian mulia penuh dengan budaya dan adat istiadat keBruneian adalah acuan dari pendidikan berteras nilai kemelayuan, keislaman dan beradat istiadat melahirkan satu identiti keperibadian bangsa Brunei yang digalati.

    Kepimpinan yang berteraskan kepada ajaran agama Islam adalah melambangkan jiwa keislaman seorang raja yang senantiasa mengamalkan nilai-nilai Islam sebagai cara hidup yang lengkap lagi sempurna yang berlandaskan tradisi keBruneian dalam kehidupan beragama, berbudaya dan beraja.

    Oleh itu, satu daripada agenda penting kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk mencapai Wawasan Brunei 2035, ialah berusaha untuk mempertahankan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai tunjang kehidupan keperibadian agung Bangsa Brunei yang perlu dimiliki oleh setiap individu dalam masyarakat Brunei khususnya golongan belia sebagai asas tunggak dan perisai dalam menghadapi cabaran globalisasi.

    Maka sejak tahun 1984 Baginda Sultan sentiasa memberi peringatan dan nasihat akan perlunya pengamalan nilai Melayu Islam Beraja yang menjadi teras kepada identiti, acuan, sistem nilai, jati diri, semangat kebangsaan dan sebagainya untuk dipakai dan diamalkan oleh setiap individu walau di mana pun kita berada tanpa mengira masa, waktu dan tempat. Baginda amat menyedari akan kepentingan nilai-nilai agung MIB yang menjadi cerminan dan identiti bangsa Brunei.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerap berkenan melakukan lawatan kerja dan sentiasa memeduli terhadap keperluan rakyat dan penduduk.

    Dalam hal ini, Baginda Sultan tanpa kendur-kendur mengingatkan rakyat dan penduduk negara ini supaya terus mengamalkan dan menghayati ajaran-ajaran agama Islam yang merupakan komponen penting menjadi penentu dalam pengamalan nilai-nilai MIB untuk membentuk dan melahirkan model insan bukan sahaja untuk keduniaan bahkan juga alam akhirat. Baginda menasihati rakyat negara ini, khususnya umat Islam supaya sentiasa merujuk dan membaca Al-Quran sebagai amalan harian, bukan hanya sekadar di rumah bahkan di pejabat setiap hari apabila hendak memulakan tugas rasmi. Ini adalah kerana Al-Quran itu penyuluh dan penyelamat daripada alam kejahilan dan kegelapan.

    Baginda Sultan amat mementingkan kewujudan ketakwaan dan keimanan untuk melahirkan modal insan yang benar dapat mempertahankan cara hidup Melayu Islam Beraja khususnya kesucian Ugama Islam yang cuba dipesongkan dan dimusnahkan oleh unsur-unsur luar dengan meresapkan satu pegangan yang memang bertentangan dengan nilai-nilai keBruneian.

    Malah pendidikan agama itu tidak boleh dipinggirkan kerana ia sama pentingnya dengan pendidikan formal yang lain bagi melahirkan ‘insan Brunei’ yang mempunyai kriteria yang diperlukan berasaskan kepada nilai-nilai taat beragama, beraja dan semangat jati diri yang kukuh berbudaya Melayu untuk mencapai matlamat yang terkandung dalam Wawasan Brunei 2035.

    Kita amat bersyukur kerana mempunyai seorang pemimpin yang begitu prihatin, bukan sahaja dalam soal-soal yang berkaitan dengan hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan rakyat malahan hingga ke soal-soal hukum-hakam yang membabitkan perkara sekecil-kecilnya, tetapi mempunyai impak yang besar kepada pegangan dan kehidupan beragama.

    Semua ini adalah rahmat yang diterima berkat kepimpinan yang berpandukan kepada Al-Quran dan As Sunnah. Ini kepimpinan yang patut di tauladani dan dicontohi dari peringkat akar umbi sehingga ke atasan dalam lapisan masyarakat kita yang mengamalkan nilai-nilai keBruneian seperti mana yang dihasratkan oleh Baginda Sultan sendiri. Sikap pemedulian, keprihatinan, pengasih dan penyayang yang terbentuk dalam jiwa Baginda adalah identiti kehidupan orang Brunei yang terkenal dengan ungakapan yang muda disayangi dan yang tua dihormati.

    Ini adalah keberkatan dari didikan agama Islam yang terus kita utamakan dalam kehidupan berkeluarga, berkampung, bermasyarakat bernegara bagi mengekalkan ketamadunan negara yang kita warisi ini dirahmati dan dilindungi oleh Allah Subhanahu Wata’la sebagai Negara Zikir. Ini tauladan dan contoh kepimpinan yang perlu kita ambil iktibar untuk melahirkan insan Brunei yang berbudi pekerti mulia, berbudi bahasa yang baik dan berbudi bicara yang sempurna lagi lengkap dengan nilai-nilai KeBruneian. Ini adalah aset negara yang akan melahirkan bangsa Brunei yang berharga yang akan menentukan nasib masa depan negara ini sebagaimana titah Baginda di Majlis Musabaqah Tilawatil Qur’an Belia Asia Tenggara kali ke-5 Tahun 1432 Hijrah/2011 Masihi:

    “Bagaimana cara untuk memproduk belia yang seperti ini? Adakah sama seperti kita memproduk barangan? Jawabnya sama sekali tidak sama.

    “Memproduk belia yang baik memerlukan mekanisme istimewa yang bersumber daripada ajaran Al-Quran, iaitu menyuruh mereka berbuat taat dan beramal salih.

    “Kalau ada ini, barulah dapat dianggap mereka itu sebagai belia yang ideal dan unggul.

    “Kerana itu, dianjurkan kepada belia supaya sentiasa berdampingan dengan Al-Qur’an, bacalah ia selalu-selalu untuk mengambil berkat dan pahala yang dijanjikan.

    “Jangan pisahkan diri daripada Al-Qur’an, bawalah ia walau ke mana, seperti ketika bermusafir, untuk jadi teman di masa sunyi dan bersendirian.

    “Sesungguhnya orang yang membaca Al-Quran itu, adalah seperti saja dia sedang berkata-kata dengan Allah, kerana bukankah Al-Quran itu Kalamullah?”

    Semua ini adalah rahmat yang diterima berkat kepimpinan Baginda yang berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Realitinya, perpaduan yang sangat dituntut oleh Islam itu telah dapat dicapai oleh Negara Brunei Darussalam dengan caranya yang tersendiri.

    ‘Tali Allah’ telah dapat menyatukan umat Islam di negara ini dan menghindarkan daripada berlaku perpecahan yang boleh membawa huru-hara dalam masyarakat dan negara. Allah Subhanahu Wata‘ala berfirman dalam Surah Al-Imran, ayat 103 yang maksudnya:

    Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam) dan janganlah kamu berpecah belah.

    Ini semua keberkatan kepimpinan berteraskan keislaman dalam falsafah negara Melayu Islam Beraja yang membawa kepada kemajuan, pembangunan dan kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang hampir setengah abad di bawah payung pimpinan dan naungan Baginda.

    Seluruh lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam merafakkan sembah menjunjung kasih dengan rasa penuh syukur dan gembira sempena lima dekad kepimpinan Baginda memayungi rakyat dan Negara Brunei Darussalam sejak 5 Oktober 1967.

    Semoga Allah Subhanahu Wata‘ala sentiasa mengurniakan taufik, inayah dan hidayah-Nya kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, memimpin rakyat dan penduduk negara ini ke mercu kemakmuran, kesejahteraan, kegemilangan, dan kecemerlangan serta kekal qarar memerintah di atas takhta kerajaan Negara Brunei Darussalam. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda