Tuesday, March 25, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kepimpinan raja terbilang jadi sanjungan rakyat

    Oleh Nurdiyanah R.

     

    SEORANG raja dan pemimpin negara yang berjiwa rakyat, tanpa mengira pangkat dan rupa, dan sifat kepimpinan serta keperibadian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menjadi pencetus perpaduan di mata seluruh lapisan rakyat dan penduduk yang bernaung di bawah takhta singgahsana di bumi Brunei Darussalam yang kita cintai ini.

    Ini jelas melambangkan bahawa ‘Raja dan Rakyat itu Berpisah Tiada’. Itulah kata-kata yang selayaknya menggambarkan betapa eratnya hubungan antara pemimpin dengan yang dipimpin demi satu matlamat untuk membangun negara ke mercu kejayaan di dunia dan akhirat.

    Hal ini jelas terbukti melalui keberangkatan Baginda Sultan bercemar duli berserta kerabat diraja ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah yang berlangsung di keempat-empat daerah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-72 baru-baru ini.

    Daerah Tutong merupakan daerah pertama bagi penganjuran Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah, diikuti dengan rakyat dan penduduk di Daerah Belait dan Temburong. Manakala diakhiri pula dengan majlis di Daerah Brunei dan Muara.

    Meskipun cuaca semakin memancarkan kehangatannya, namun dengan kehadiran ribuan rakyat dan penduduk semasa majlis-majlis berkenaan kelihatan begitu bersemangat untuk memeriahkan sebuah majlis yang dinanti-nantikan setiap tahun demi nilai sebuah ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada raja dan pemimpin negara yang berdaulat.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam di keempat-empat buah daerah bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-72 baru-baru ini. – Gambar Infofoto
    Semangat perpaduan dan ketaatsetiaan jelas terpancar di wajah murid-murid dan pelajar sekolah yang mengikuti acara perbarisan dan pengibaran bendera kecil negara sepanjang acara Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk yang berlangsung di negara ini sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-72 baru-baru ini. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Bendera-bendera kecil negara kelihatan megah dikibarkan oleh murid-murid dan pelajar sekolah yang mengadakan perbarisan sepanjang jalan, di mana majlis-majlis tersebut berlangsung.

    Suasana warna-warni dengan hiasan bunga-bungaan dan perhiasan-perhiasan persembahan turut menceriakan hari yang begitu indah setentunya akan menyimpan seribu kenangan manis dalam kehidupan rakyat dan raja.

    Seperti lazimnya, keindahan majlis-majlis berkenaan juga diserikan lagi dengan persembahan yang memaparkan pelbagai tema yang meliputi kebudayaan, semangat patriotik, keagamaan dan nilai-nilai kemasyarakatan sebagai tanda pesambah dari segenap lapisan rakyat jelata untuk raja yang dikasihi.

    Himpunan masyarakat yang terdiri dari pelbagai bangsa dan puak jati serta agama tetap bersatu untuk bersama-sama memeriahkan setiap detik suasana majllis-majlis yang sudah menjadi tradisi dan amalan bagi negara ini.

    Perkara ini adalah satu lagi keistimewaan yang terdapat di Negara Brunei Darussalam yang sukar kita rasai di tempat lain.

    Dengan raut wajah yang berseri-seri dan penuh senyuman, Baginda Sultan tetap berkenan menghulurkan tangan kepada ribuan rakyat yang menjunjung ziarah.

    Keriangan dan kegembiraan serta senyuman penuh kesyukuran jelas terukir pada setiap wajah rakyat dan penduduk di negara ini yang sangat menanti-nantikan peluang untuk bersemuka dengan raja yang dicintai.

    Demi raja yang dikasihi

    Rasa cinta kepada pemimpin tertinggi negara itu juga jelas dipamerkan oleh salah seorang penuntut Tahun 9 dari Sekolah Menengah Sayyidina Othman (SMSO) Tutong yang turut terlibat dalam menjayakan persembahan khas semasa keberangkatan Baginda Sultan ke acara Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah di Daerah Tutong, Dayang Norsyamiza Asyiqin binti Mohd Ali Shahbirin semasa ditemui Media Permata mengungkapkan perasaan gembira dan sangat bertuah

    kerana terlibat dalam sama-sama menyertai persembahan yang sememangnya dinanti-nantikan oleh seluruh lapisan masyarakat di negara ini.

    “Demi raja dan negara yang kita cintai, kita selaku masyarakat terutamanya golongan belia haruslah sentiasa bergerak aktif dalam mengharungi pelbagai cabaran agar kemajuan dan kesejahteraan beragama, berbangsa dan bernegara dapat dicapai dengan jayanya,” ujar beliau yang telah mengikuti persembahan sebegitu buat kali kedua dengan penuh keterujaan.

    Pasukan Pandu Puteri Brunei Darussalam tidak ketinggalan dalam memperlihatkan nilai ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada raja yang dikasihi sebagaimana yang ditampilkan dalam penyertaan mereka semasa Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk baru-baru ini.
    Sebahagian para peserta persembahan khas kelihatan tetap bersemangat sedari awal pagi lagi bagi menjayakan Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk baru-baru ini.
    Dayang Norsyamiza (kiri) semasa ditemui Media Permata mengungkapkan perasaan bertuah kerana berpeluang menyertai persembahan yang sememangnya dinanti-nantikan oleh seluruh lapisan masyarakat di negara ini.
    Awang Muhammad Waiz Dzulfadhly turut mengungkapkan perasaan bersyukur yang tidak terhingga kerana masih berpeluang menyertai acara bersejarah pada tahun ini bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain.

    Menanai tanggungjawab bersama

    Demi memastikan acara yang mengeratkan hubungan antara raja dan rakyat berkenaan berjalan dengan lancar, salah seorang ahli dari Persatuan Bulan Sabit Merah, Dayang Nur Fa’eqah Putri Darwisyah binti Haji Mohd Faisal menyatakan bahawa sememangnya menjadi tanggungjawab ahli pasukan untuk sentiasa memberi khidmat bantuan kepada masyarakat seperti membawa mereka ke pusat-pusat perubatan yang dikhaskan dengan segera sekiranya berlaku sebarang kecemasan seperti pengsan dan mengalami masalah kekurangan air.

    “Meskipun cuaca berada dalam keadaan panas tetapi keseronokan tetap dapat dirasai dan apa yang pasti saya sangat teruja untuk bertemu dan menjunjung ziarah kehadapan majlis Baginda Sultan dan kerabat diraja,” tambah beliau dengan nada penuh keceriaan.

    Sentiasa siap sedia tempuhi cabaran

    Ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Baginda Sultan juga terlihat jelas dengan adanya penglibatan daripada salah satu pasukan beruniform di negara ini iaitu Persatuan Pandu Puteri Brunei Darusslam.

    Menurut Pesuruhjaya Pandu Puteri Ranger, Hajah Ostinah binti Haji Othman menjelaskan bahawa aktiviti sebegini sememangnya merupakan aktiviti tahunan yang mana ahli-ahli pasukan turut sama turun padang untuk memeriahkan acara yang begitu indah ini.

    “Ini kerana sebagai badan sukarelawan, kami berusaha untuk sentiasa bersiap sedia demi membina ketahanan mental dan fizikal agar bersama-sama membangun negara dengan nilai-nilai positif seperti aktiviti kemasyarakatan,” hurai beliau dengan penuh semangat.

    Menjunjung kasih

    Selain itu, kegembiraan juga telah dirasai oleh Pengetua Sekolah Rendah Sinaut, Daerah Tutong, Dayang Hartini binti Haji Saniah, yang mana beliau menjunjung kasih di atas keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja ke Daerah Tutong.

    “Hamba Kebawah Duli Tuan Patik sangat berbesar hati kerana dapat beramah mesra dan bersua muka dengan lebih dekat lagi bagi sama-sama menjunjung keberangkatan raja yang berwibawa, bijaksana dan berjiwa rakyat, mempunyai sifat kepimpinan serta pemedulian dan tanda kasih sayang Baginda Sultan terhadap rakyat jelata khususnya penduduk Daerah Tutong.

    Oleh itu, didoakan semoga Baginda Sultan dilanjutkan usia serta sentiasa dalam rahmat dan lindungan Yang Maha Esa serta kekal karar memerintah negara. Daulat Kebawah Duli Tuan Patik!” ucap Dayang Hartini dengan senyuman manis.

    Keindahan majlis-majlis berkenaan juga diserikan dengan persembahan yang memaparkan pelbagai tema yang meliputi kebudayaan, semangat patriotik, keagamaan dan nilai-nilai kemasyarakatan sebagai tanda pesambah dari segenap lapisan rakyat jelata kehadapan raja yang dikasihi. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Penuh kesyukuran

    Salah seorang pelajar dari Sekolah Menengah Muda Hashim Tutong (SMMHT), Awang Muhammad Waiz Dzulfadhly bin Haji Azmain mengungkapkan perasaan bersyukur yang tidak terhingga kerana masih berpeluang menyertai majlis berkenaan pada tahun ini bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain.

    “Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja dan rakyat di negara ini sentiasa di dalam rahmat dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala jua,” jelasnya lagi dengan nada penuh keikhlasan.

    Cuaca panas bukan penghalang

    Manakala Dayang Ernienoryantie binti Samiri yang berasal dari Kampung Sinaut bersama ahli keluarga, yang hadir seawal jam 8 pagi lagi ke majlis berkenaan, turut menjelaskan bahawa cuaca panas bukan penghalang untuk bersama-sama berkumpul bersua muka bersama Baginda Sultan lebih-lebih di hari yang penuh bermakna tersebut.

    Dalam pada itu, salah seorang penduduk dari Kampung Bukit Beruang, Dayang Ezza Allisyah Mohd Azlan yang ditemui pada majlis tersebut mengungkapkan perasaan teruja di atas keberangkatan Baginda Sultan ke Daerah Tutong yang mana kemeriahannya tetap dirasai seperti tahun-tahun sebelumnya.

    “Apa yang pasti, saya turut membawa anak-anak ke acara sebegini seawal pagi lagi agar mereka mengetahui betapa besarnya pengorbanan pemimpin negara kita selama ini,” tambah beliau lagi yang turut ditemani oleh suami dan ibu tersayang semasa mengakhiri sesi temu bual bersama wartawan Media Permata.

    Detik-detik indah bertemu seorang raja yang dikasihi, sebagai pemimpin negara yang berdaulat dan khalifah di bumi Negara Brunei Darussalam pastinya sentiasa dinanti-nantikan oleh seluruh lapisan rakyat dan penduduk di negara ini.

    Berkat kepimpinan Baginda Sultan yang diwarisi daripada ayahanda Baginda Sultan, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali

    Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, ke-majuan dan kesejahteraan negara telah kita kecapi bersama.

    Semoga Allah Subhanahu Wata’ala sentiasa merahmati Baginda Sultan dengan dilanjutkan usia serta kekal karar memerintah negara.

    Daulat Kebawah Duli Tuan Patik!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda