Kepincangan, ketidakcekapan perlu diberikan perhatian

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani dan Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Kepincangan dan ketidakcekapan dalam sektor pertanian dan perikanan serta keberkesanan pengawalan dan kepimpinan menjadi perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah pada lawatan tidak berjadual ke Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) hari ini.

Baginda bertitah menekankan kepimpinan adalah tonggak segala-galanya dan kerana itu, kepimpinan perlu lurus, tidak boleh bengkok-bengkok dalam melayani sebarang permohonan atau aduan.

“Pemimpin tidak boleh kedaerahan atau kekeluargaan tetapi layanilah orang ramai dengan sama rata, mengikut ketentuan-ketentuan yang telah digariskan. Pemimpin mustahak lebih pemikiran sebelum membuat satu-satu keputusan, apa jua perkara, perlu terlebih dahulu difikirkan secara mendalam.”

Ciri kepincangan atau kelemahan ialah apabila pemimpin tidak menaruh kepercayaan kepada pegawai-pegawai bawahnya atau pemimpin bersikap tidak bersedia untuk menerima pandangan daripada pegawai-pegawai lain, sekalipun pandangan itu baik, tekan Baginda.

Baginda menegaskan bahawa sikap pemimpin seumpamanya melanggar konsep permesyuaratan dan memberikan contoh keghairahan untuk menswastakan kawasan-kawasan pertanian.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berinteraksi dengan kakitangan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dalam lawatan tidak berjadual ke kementerian itu, kelmarin.

 

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan bergambar ramai bersama pegawai dan kakitangan KSSUP.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan melawat salah satu bahagian di KSSUP.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah.
Baginda Sultan ketika berkenan berangkat bagi lawatan tidak berjadual ke KSSUP.
Baginda Sultan ketika berkenan meninjau unit dan bahagian yang terdapat di KSSUP.

Pegawai dan kakitangan KSSUP mendengarkan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

“Walaupun objektif penswastaan itu dilihat sebagai baik, boleh meningkat penghasilan, namun pemilihan siapa yang patut dipilih untuk mengendalikannya memerlukan pertimbangan mendalam.”

“Tegasnya, kementerian tidaklah boleh menganggap hanya faktor kekayaan sahaja layak menjadi penentu bagi satu-satu projek itu diberikan kepada pihak swasta.

“Jika ia berlaku, nescaya semua projek akan dimonopoli oleh orang-orang kaya atau syarikat-syarikat besar sahaja,” titah Baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menjelaskan bahawa penswastaan bukan bertujuan untuk merehatkan jentera kerajaan atau pihak kerajaan berpuas hati begitu sahaja dengan pencapaian-pencapaian atau perolehan-perolehan yang tinggi oleh pihak swasta, sedang di pihak kerajaan hanya jadi penonton. Ini semua perlu difahami terutama oleh pembuat dan pemegang dasar.

Terdahulu Baginda mengambil maklum bahawa dalam Pelan Strategik KSSUP dan jabatan-jabatan di bawahnya, menyasarkan untuk Keluaran Kasar Industri Sumber-sumber Utama meningkat dari $511,000,000 pada 2015 kepada $1.8 bilion menjelang 2020 iaitu peningkatan purata sebanyak 28.8 peratus setahun.

Sementara bagi sektor pelancongan pula sasaran kedatangan pelancong adalah 450,000 pada tahun ini, meningkat secara purata 5.9 peratus berbanding 218,000 pada tahun 2015.

“Namun sejauh mana sasaran ini telah dicapai terutama dalam sektor pertanian dan perikanan adalah sukar untuk menentukannya kerana ketiadaan data. Demikian pula mengenai kewujudan peluang-peluang pekerjaan di sektor-sektor berkenaan, juga belum dapat diketahui selain cuma menyebut angka-angka peluang pekerjaan yang disasarkan sahaja,” titah Baginda.

Baginda menegaskan sasaran dan angka bukan untuk sebutan sahaja malah penting bagi kita mencapai apa yang disasarkan dan mustahak mencapai apa yang disasarkan.

“Misalnya, menyebut pengeluaran padi pada 2017, kita baru saja mencapai hampir 5 peratus sara diri, sementara dalam 2020, kementerian telah menyasarkan pengeluaran padi kepada 11 peratus.

“Apabila sasaran telah ditetapkan 11 peratus maka perhatian mesti bulat-bulat kepada 11 peratus, kita tidak akan memandang ke belakang lagi kepada 5 peratus tetapi ghairah untuk mencapai 11 peratus, semata-mata. Inilah cara orang mendaki untuk sampai kepada sasaran,” tekan Baginda.

Baginda turut menyeru agar kementerian tidak rimas dengan istilah-istilah motivasi seperti istilah sara diri yang mendukung maksud untuk memenuhi keperluan, jangan dikira dari siapa dan ketika mana ia dipakai selama ia sesuai dan baik untuk digunakan maka kita gunakan. Selagi matlamat sara diri belum tercapai maka selama itulah ia elok dipakai.

Ketika menyentuh cabaran pertanian besar yang sedang dihadapi iaitu Projek Penanaman Padi Secara Komersial di kawasan Kandol, Daerah Belait, di mana bagi projek berkenaan, telah diperuntukkan kawasan seluas 500 hektar tanah, Baginda menyeru pihak-pihak berkaitan dengan projek berkenaan sentiasa prihatin untuk melihatnya berjaya, memastikan perjalanannya lancar dan bersedia untuk mengatasi sebarang masalah jika timbul.

“Di samping itu, janganlah berhenti belajar dan membuat kajian, kaji kedudukan kawasan, kedudukan sungai dengan sawah dan kaji juga risiko penggunaan racun terhadap semaian.”

Baginda seterusnya bertitah, “Selain itu, perlu pula bersedia dari sekarang untuk projek fasa ke-2 penanaman nanti. Ia mungkin saja akan melalui kerja-kerja lebih sukar kerana kawasan fasa ke-2 ini, adalah kawasan berbukit yang tidak mudah untuk melakukannya kerja-kerja pengorekan dan meratakan. Inilah juga masanya untuk kita melihat peranan berkesan dari konsultan yang dilantik.”

Manakala ketika menyentuh mengenai Koridor Inovasi Bio Taman Agroteknologi, Baginda melihat projek di Kawasan Kemajuan Pertanian Tungku Gadong yang menelan kos lebih $20 juta itu sebagai gagal untuk memenuhi sasarannya.

“Walaupun ada usaha untuk menjadikannya kawasan pertanian dan telah beberapa kali, ditawarkan kepada pelabur-pelabur dalam dan luar negara untuk mengusahakan penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran, namun sambutan didapati tidak menggalakkan yang akhirnya boleh dianggap sudah berkubur.

Namun Baginda menggesa agar perkara itu tidak diambil ringan kerana ia berlaku disebabkan kelemahan dan ketidakcekapan perancangan.

“Menyebut tentang kelemahan dan ketidakcekapan ini, ia juga berlaku dalam perkara pengawalan pada masa ini. Pada masa ini, Brunei sedang menerima kebanjiran buah-buahan dan sayur-sayuran dari luar negara.

“Ini menjadikan berlakunya persaingan penghasilan dan harga. Hasil dan harga dari luar negara sedang bersaing dengan kita di dalam. Buah-buahan dan sayur-sayuran dari luar, harganya lebih murah daripada harga buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan, lalu kerana itu, hasil tanaman dari luar didapati lebih laris sehingga menjejaskan petani dan peladang tempatan dengan teruknya,” titah Baginda.

Manakala mengenai isu petak-petak jualan di pasar-pasar di mana petak berkenaan didapati disewakan oleh warga tempatan kepada warga asing, Baginda bertitah agar pengawalan dan pemantauan dibuat ke atas petak-petak yang disewakan kepada warga asing terutamanya di Pasar Tani Selayun, Mukim Sengkurong B, yang mana warga asing ini dikatakan memonopoli perniagaan.

“Lebih malang lagi, mereka juga dengan sesuka hati menaik dan menurunkan harga-harga jualan, tanpa dipantau dan dikawal oleh pihak berkenaan. Lain lagi turut juga diragukan mengenai pemantauan dan pengawalan ke atas bahan-bahan jualan seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan juga ikan.”

“Adakah bahan-bahan ini dipantau dan dikawal sebelum ia dijual kepada orang ramai? Kawalan yang Beta maksudkan ialah memastikan semua bahan-bahan tersebut bebas daripada segala macam racun serangga yang membahayakan, yang disembur secara berlebihan.

“Demikian juga kawalan bagi ikan-ikan yang dibawa masuk daripada luar, yang mungkin sudah diawet dengan bahan-bahan pengawet untuk menampakkannya sentiasa segar.

Ini semua menyangkut tanggungjawab besar bagi keselamatan pengguna. Adakah tanggungjawab ini sudah dilaksanakan dengan sempurna dan konsisten?” Soal Baginda.

Baginda bertitah, “Kita sedia menyedari bahawa sektor pertanian masih banyak masalah dan cabarannya. Di antara cabaran itu ialah bagaimana untuk kita menyuntik minat para petani supaya benar-benar menikmati bidang pertanian. Dan cabaran lain, bagaimana pula untuk meramaikan bilangan mereka yang mahu menceburi bidang ini.

“Pada masa ini, minat dan bilangan para petani dilihat masih di tahap yang rendah dan kedapatan juga, sebilangan petani kita adalah terdiri daripada para pesara yang bertani bukan sepenuh masa tetapi cuma untuk mengisi masa lapang sahaja.

Sehubungan itu, Baginda bimbang jika keadaan ini berterusan, maka untuk melihat sektor pertanian untuk maju dan berkembang adalah diragukan. Jadi apakah yang perlu kita lakukan? Jawabnya kita mesti cepat membuat perubahan.”

Menyentuh mengenai perikanan, Baginda mempersoalkan sama ada sumber tersebut mampu menampung keperluan negara.

“Jawabnya mudah, belum, malah negara masih sahaja terlalu banyak bergantung kepada penghasilan ikan-ikan dari negara jiran. Pihak pengusaha tempatan dilihat timbul tenggelam, kalau diamati di Kompleks Pendaratan Ikan, Jabatan Perikanan, Serasa, banyak kapal-kapal tunda penangkap ikan dikuasai oleh warga tempatan, tetapi penghasilan tidak mampu untuk bersaing dengan ikan-ikan dari luar.”

“Terdapat desas-desus tentang kapal-kapal ini, d subkontrakkan kepada orang asing tanpa kawalan dan kerana itu tidak hairan, jika tangkapan-tangkapan terus dijual kepada pembekal-pembekal di restoran dalam negara ini yang menjadikan orang ramai tidak berpeluang untuk membelinya.

“Kalau ini benar, maka satu lagi isu yang perlu ditangani oleh pihak berkenaan. Mereka tidak boleh lepas pandang mengenainya. Sumber laut adalah antara industri yang berupaya untuk meningkatkan pendapatan negara, namun ia berkehendakkan tenaga kerja, aset dan kepakaran bagi menggerakkannya.”

Ke arah itu, Baginda menekankan industri ini memerlukan rancangan kemas dan inovatif dan memerlukan kita memiliki daya keusahawanan yang tinggi.

Mengenai sumber hutan, Baginda menekankan bahawa negara ini mempunyai khazanah kayu gaharu yang bermutu tinggi namun pemantauan dan pengawalannya masih diragukan kerana aktiviti-aktiviti pembalakan haram di kawasan sempadan masih terus berlaku.

“Jika keadaan ini dibiarkan terus berlaku, nescaya boleh menghakis aset sangat berharga ini,” tegas Baginda.

Manakala dalam industri pelancongan, Baginda sedia maklum negara ini masih kekurangan tempat-tempat mahupun kemudahan menarik. Namun ia boleh diatasi sedikit demi sedikit melalui rancangan-rancangan kemajuan masa hadapan.

Apa yang penting sekarang adalah menjaga dan memelihara apa yang sudah ada sebaik mungkin agar benar-benar kelihatan menarik dan bersih bukannya comot dan kotor, titah Baginda.

“Ada sungutan kebanyakan tempat pelancongan yang telah disediakan, tidak dijaga dengan baik secara konsisten dan malah ada yang terbiar begitu sahaja. Jika ini benar, ia adalah mengaibkan,” tekan Baginda pada penghujung titah.

Pada keberangkatan tidak berjadual, Baginda berkenan berangkat melawat ke jabatan-jabatan, bahagian-bahagian dan unit-unit yang terdapat di KSSUP.

Keberangkatan Baginda Sultan dijunjung oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.

Antara jabatan dan bahagian yang dilawati oleh Baginda ialah Bahagian Hidupan Liar, Jabatan Perhutanan; Bahagian Bio-sekuriti, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan; Unit Audit Dalaman; Unit Pengurusan Maklumat; Unit Lembaga Tawaran Kecil dan Sebut Harga, Jabatan Perhutanan; Jabatan Kemajuan Pelancongan; Bahagian Pengurusan dan Kewangan, Unit Pentadbiran; Unit Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Timbalan Setiausaha Tetap dan Bahagian Dasar dan Perancangan.

Keberangkatan Baginda Sultan itu adalah untuk memastikan KSSUP peka akan isu-isu yang ditangani oleh kerajaan Baginda serta usaha untuk mencapai visi dan misi kementerian dan jabatan-jabatan dibawahnya.