Kepolisan komuniti dilancar bendung penyakit berjangkit

KUCHING, 7 OGOS – Kerajaan negeri Sarawak hari ini melancarkan Program Kepolisian Komuniti sebagai satu inisiatif untuk membendung penyakit berjangkit di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika berucap merasmikan program itu di sini berkata usaha itu memerlukan kerjasama ketua-ketua masyarakat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk memantau keadaan kawasan, kampung dan rumah panjang masing-masing.

Katanya Sarawak memerlukan program pencegahannya sendiri serta menguatkuasakan langkah pencegahan yang lebih tegas dan berkesan bagi membendung penularan penyakit seperti COVID-19, rabies, malaria dan demam denggi.

“Kita jaga kita dan kita jaga negeri Sarawak bersama,” katanya dan menyeru orang ramai agar mematuhi setiap perintah yang dikeluarkan kerajaan berkaitan COVID-19.

Menurutnya langkah berjaga-jaga dengan mematuhi arahan kerajaan dan perintah kuarantin akan dapat membantu membendung penularan pandemik berkenaan. Beliau turut meminta supaya ketua-ketua masyarakat memantau kemasukan pendatang tanpa izin ke kampung dan rumah panjang kerana bimbang mereka terbabit akan membawa virus Covid-19 dan menjangkiti penduduk tempatan. -Bernama

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyampaikan Buku Modul Kepolisan Komuniti kepada wakil pemimpin masyarakat Temenggong Tan Joo Pui pada majlis pelancaran Program Kepolisan Komuniti, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak di Wisma Bapa Malaysia kelmarin. Turut sama ialah Datuk Amar Douglas Uggah Embas (kanan). – Bernama