Kepompong ulat sutera dijadikan makanan kucing

MIAOLI, TAIWAN – Menjilat mulutnya dengan angkuh, seekor kucing perang kemerah-merahan membersihkan setiap sisa makanan daripada misainya yang keriting, jelasnya tidak kisah dengan ramuan makanan yang luar biasa itu – kepompong ulat sutera.

Sejumlah 15 penghuni di kafe kucing Mao Thai Thai di Taiwan adalah antara penguji rasa sukarelawan untuk merasa makanan kucing baharu yang dibangunkan oleh pakar ulat sutera.

Selain menggunakan apa yang sebelum ini merupakan produk sam-pingan penghasilan sutera, saintis berkata makanan tersebut menghapuskan bakteria usus yang memudaratkan – dengan kelebihan tambahan mengurangkan bau najis kucing itu sendiri.

“Kucing berkenaan mempunyai tenaga yang lebih dan najis yang kurang berbau, manfaat yang lebih daripada saya jangkakan, kata pengurus kafe, Rosa Su.

Makanan tersebut datang dalam pelbagai jenis perisa – tuna dan ikan, daging lembu dan ayam – namun komponen protein utama dalam makanan berwarna merah muda itu adalah serangga.

Kucing-kucing Su langsung tidak kisah, mengerumuninya, tidak sabar-sabar untuk memakan makanan yang disajikan.

Ulat sutera memakan daun mulberi di sebuah ladang ulat sutera di Miaoli. – AFP
Seorang pekerja menyusun sampel tin makanan kucing, ramuan asasnya dibuat daripada kepompong ulat sutera, di kilang makanan haiwan peliharaan di Miaoli. – AFP
Seekor kucing duduk di sebelah pancutan air minuman di kafe kucing Mao Thai Thai di Bandar Taipei. – AFP
Seorang pekerja menghiris kokun ulat sutera di sebuah stesen penyelidikan pertanian di Miaoli. – AFP

Kumpulan penyelidikan berkata kebanyakan maklum balas daripada pemilik kucing lain yang terbabit dalam percubaan itu adalah amat memberangsangkan.

Di Stesen Penyelidikan dan Pelanjutan Pertanian Miaoli berusia satu abad, di mana makanan dibangunkan, ratusan ulat bulu menggeliang-geliut dalam dulang ketika serangga itu mengunyah daun mulberi.

Pusat itu menempatkan 136 jenis ulat sutera yang berlainan dari seluruh dunia. Kepompong merupakan peringkat awal dalam kitaran hidup ulat itu, apabila ia membentuk kokun untuk beralih daripada larva kepada ulat sutera dewasa.

“Apabila kami melihat ulat sutera, kami memikirkan fabrik sutera,” beritahu penyelidik Liao Chiu-hsun kepada AFP ketika beliau menghiris bahagian atas kokun sutera untuk mengeluarkan lundi menggeliang-geliut warna perang.

“Namun serangga yang amat jinak ini mempunyai banyak manfaat.”

Kepompong amat kaya dalam protein, lemak dan zat galian, tetapi pasukan penyelidik Miaoli juga membangunkan satu teknik untuk merangsang isi kandungan proteinnya yang membunuh bakteria berbahaya yang hidup dalam perumah.

Memberikan stres kepada ulat sutera dan membuat ia memikirkan ia berada dalam keadaan bahaya bermakna serangga itu akan mengeluarkan lebih banyak protein dalam kokun, di mana protein tersebut dikeluarkan dan ditukar menjadi makanan kucing. Penggunaan inovatif apa yang sebelum ini merupakan produk buangan juga mungkin berpotensi menawarkan bantuan kepada penternak ulat sutera yang masih tinggal di Taiwan.

Terdapat ratusan penternak sebelum ini, namun sekarang hanya dua yang masih menjalankan perniagaan itu. Hsu Wei-chun, 30, penternak ge-nerasi ketiga, berkata sekarang tidak berbaloi dari segi ekonomi untuk menternak serangga untuk fabrik sahaja.

Daun mulberi telah pun digunakan untuk menghasilkan teh, misalnya, dan kokun boleh digunakan dalam kosmetik.

“Daya saing kami datang daripada keupayaan menggunakan segala-galanya,” jelas Hsu. “Kami menggunakan setiap bahagian untuk mengurangkan kos.”

Pasaran makanan haiwan peliharaan di Taiwan memberikan peluang yang menguntungkan – pemilikan haiwan semakin meningkat, dan ekonomi yang membabitkan haiwan peliharaan dinilai lebih daripada AS$1 bilion.

Satu tin makanan ulat sutera dijual dengan harga NT$68 (AS$2.43), lebih mahal daripada makanan basah kucing dalam tin.

“Walaupun ia lebih mahal, saya rasa tahap penerimaan untuk makanan haiwan peliharaan tin yang mampan dan mesra alam adalah agak tinggi di Taiwan,” kata Lee Wei-ting, ketua jabatan Pemasaran Digital dan Kreativiti Kebudayaan di Universiti Nasional Bersatu.

Dan kedai haiwan peliharaan di Korea, Jepun, Thailand dan Amerika Syarikat juga telah menyatakan minat dalam produk tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat yang memulakan penghasilan makanan baharu secara besar-besaran sebulan lalu berkata respons yang diterima amat menggalakkan.

“Saya rasa pemilik haiwan peliharaan sekarang lebih menumpu pada ramuan,” kata Eva Liu.

“Kami menggunakan pembiayaan awan pada mulanya sebagai jualan awal. Pada hari pertama, dalam tempoh masa 24 jam, kami berjaya mencapai matlamat awal kami. – AFP