Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Kepopularan bas No. 8 di Bangkok

    BANGKOK – Bas ‘Pink Devil’ menderu di jalan sibuk di Bangkok, memintas tuk-tuk, kereta dan motosikal, dengan teliti mengelak perlanggaran ketika ia memperlahankan kelajuannya untuk membenarkan penumpang berebut-rebut naik sebelum membelok kembali ke lalu lintas sibuk di ibu negara itu.

    Terkenal di ibu negara Thai, laluan No. 8 telah menghasilkan lagu parodi, video tular TikTok, YouTube malah filem cetera ala Fast & Furious. Kini bas diesel yang ketinggalan zaman itu sedang dikeluarkan secara berperingkat-peringkat dan diganti dengan model elektrik yang lebih bersih.

    Namun gelagat menggerunkan ‘Pink Devils’, nama julukan yang diberikan oleh penduduk Thai, menyembunyikan keadaan sukar bagi pemandu yang bekerja terlalu keras untuk menamatkan laluan mereka secepat mungkin.

    “Ia adalah satu persaingan,” kata pemandu Aphisak Sodmui, yang telah membawa bas yang ‘popular’ – yang terkenal dengan model tanpa penyaman udara, biasanya dengan tingkap terbuka – sejak satu dekad lalu.

    Kira-kira 60 buah bas seumpama itu yang menggunakan laluan sejauh 30 kilometer, mengenakan bayaran 10 baht (AS$0.27) untuk penumpang yang berulang-alik dari utara-selatan – sebahagian daripada rangkaian Bangkok yang membawa kira-kira 700,000 orang sehari.

    Kematian berturut-turut daripada kemalangan bas No. 8 dalam beberapa tahun ini telah mendorong gesaan meminta pembaharuan dilaksanakan dan kini firma baharu sedang membaik pulih sistem tersebut, berjanji akan mempertingkat perkhidmatan dan mengganti bas dengan kenderaan elektrik.

    Penumpang turun dari bas No. 8 di Bangkok. – AFP
    Gambar menunjukkan bas No. 8 elektrik baharu, lengkap dengan akses kerusi roda, di sebuah perhentian bas di Bangkok. – AFP
    Penumpang dalam bas No. 8 di Bangkok. – AFP
    Penumpang duduk dalam bas ketika konduktor Arunee On-sawats mengambil tambang di bas No. 8 di Bangkok. – AFP

    Namun dengan kematian kemalangan jalan raya menduduki ranking kesembilan tertinggi di dunia yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, gabenor baharu Bangkok, Chadchart Sittipunt mempunyai perjalanan yang jauh dalam usahanya untuk mempertingkat bandar megalopolis yang penuh sesak dengan lalu lintas itu.

    Dan nampaknya No. 8 tidak akan mengubah reputasinya dengan mudah – salah satu bas yang baru dilancarkan telah pun terbabit dalam kemalangan, walaupun tiada sesiapa yang cedera.

    Masalah itu, menurut pakar pengangkutan Thai Sumet Ongkittikul, terletak pada firma swasta yang menyewa konsesi laluan daripada Pihak Berkuasa Transit Aliran Massa (BMTA).

    Di bawah pengurusan mereka, pemandu diberikan bahagian jualan tiket untuk setiap perjalanan, selain daripada gaji tetap mereka.

    “Maka adalah munasabah setiap pemandu bersaing dan bergegas untuk mendapatkan seberapa ramai penumpang yang mungkin,” jelasnya.

    “Malah dalam syarikat juga terdapat pemandu bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan penumpang.”

    Pemandu bas No. 8 Aphisak menambah gaji hariannya berjumlah di antara 150-200 baht di samping 10 peratus daripada jualan tiket harian.

    “Kami perlu menamatkan laluan sekurang-kurangnya empat kali sehari untuk membolehkan kami mempunyai wang yang cukup untuk kos sara hidup,” kata Aphisak.

    Namun Sumet percaya kaedah ini bakal lenyap dengan proses penambahbaikan yang dilaksanakan.

    “Apa yang kami harapkan adalah operator baharu akan memberikan lebih tumpuan untuk melatih pemandu mereka…supaya berkelakuan lebih baik,” katanya.

    Menafikan reputasi No. 8 yang teruk, Yothin Wuttisakchaikul, di mana keluarganya mengendali salah satu laluan bas – sebaliknya menyalahkan masalah ke atas pengulas dalam talian yang ‘tidak pernah menggunakan perkhidmatan bas ini sebelumnya’.

    “Penumpang sebenar akan mengetahui perkhidmatan sebenar Bas No. 8,” katanya, menambah sementara pemandu bersaing, ‘ia tidaklah sampai ke tahap menakutkan.’

    Jam menunjukkan 3:30 pagi di depot bas di bandar yang terletak di timur laut, dan Aphisak serta keluarganya sedang bersiap sedia untuk menjalani hari baharu.

    Dia memulakan syifnya pada pukul 4 pagi, menaiki bas bersama rakan yang juga konduktor bas Arunee On-sawats dan – pada hari AFP menemani mereka – juga ditemani dua anak lelaki mereka, Phan, 11 tahun dan Mon, lapan tahun.

    Sebagai pemandu No. 8, kerjanya tidak akan selesai sehingga 9 malam atau lebih lewat sekiranya hujan atau kesesakan lalu lintas – dua keadaan yang sering dialami setiap hari di Bangkok.

    Aphisak, yang seperti anaknya membesar dalam bas bersama bapanya yang juga bekerja sebagai konduktor – berkata dia tidak pernah berlanggar dengan kereta, tetapi mengakui ‘trak selalunya melanggar bas yang saya pandu.’

    Pelanggan Sai Pin, 47, berkata dia telah melihat perubahan sejak peralihan kepada bas baharu – yang kini mempunyai tambang yang lebih tinggi, iaitu 15 baht.

    “Dengan bas lama, awda mungkin mengalami banyak pemanduan laju. Bas baharu pastinya lebih baik,” beritahunya kepada AFP. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...