Keprihatinan masyarakat sebagai solidariti hadapi cabaran COVID-19

Oleh Nurdiyanah R.

Pandemik COVID-19 sememangnya memberikan cabaran dalam setiap aspek kehidupan harian kita ketika ini. Apa yang penting adalah semangat solidariti dan terus tenang serta tabah menghadapinya untuk sama-sama membendung penularannya.

‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’, itulah yang dapat menggambarkan semangat keprihatinan masyarakat di bumi Negara Brunei Darussalam ini dalam sama-sama berganding bahu meringankan beban para petugas barisan hadapan yang menanai amanah dan tanggungjawab tidak mengira masa bagi membendung penularan pandemik COVID-19 yang sedang mengancam negara dan dunia amnya.

Ibarat berada di medan perang, itulah situasi gambaran yang perlu dihadapi oleh mereka sebagai para barisan petugas kesihatan dan juga golongan sukarelawan ketika negara kita berhadapan dengan wabak ini. Mereka mempertaruhkan nyawa sendiri melawan musuh yang tidak dapat dilihat mata kasar, demi menyelamatkan nyawa orang lain.

Sehubungan dengan itu, Kumpulan Belia-Belia Daerah Tutong turut tidak ketinggalan bangkit menjalankan kerja amal menerusi sumbangan makanan dan minuman kepada para petugas barisan hadapan dan orang ramai semasa berlangsungnya Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 yang bertempat di Dewan Seri Kenangan, Daerah Tutong, baru-baru ini.

Lebih 400 Pek Bungkusan Diagihkan

Ketika ditemui Media Permata, salah seorang wakil belia kumpulan berkenaan, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, berkongsi bahawa adapun sumbangan berupa lebih 400 pek bungkusan makanan dan minuman itu telah diungkayahkan oleh gabungan belia dan beliawanis daerah berkenaan antaranya terdiri daripada pengusaha Lamin Warisan, Kumpulan IMPAK Penggerak Belia Tutong, sumbangan peribadi ahli-ahli keluarga serta pemilik kedai runcit.

“Berbekalkan kudrat kesihatan pinjaman Illahi ini, inilah masanya kita sebagai belia negara tampil menggenggam amanah sukarelawan membantu pihak kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi yang berkepentingan, di samping menyemai sikap mematuhi langkah prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang telah ditekankan selama ini,” ujarnya.

Beliau turut meluahkan perasaan kesyukuran di atas gabungan usaha kerja amal para belia dan beliawanis di daerah berkenaan untuk sama-sama menyumbang bakti kepada negara, lebih-lebih lagi dalam kita menghadapi krisis kesihatan yang semakin membimbangkan ini.

Kumpulan Belia-belia Daerah Tutong turut tidak ketinggalan bangkit bersatu menjalankan kerja amal menerusi sumbangan makanan dan minuman kepada para petugas barisan hadapan dan orang ramai.
Dayang Julia semasa menyampaikan sumbangan di bawah Mutiara Dana kepada salah seorang wakil barisan hadapan di salah sebuah hospital di negara ini. – Gambar serahan Dayang Julia.
Penyediaan nasi campur merupakan antara salah satu hasil kutipan dana di bawah Mutiara Dana sebelum disumbangankan kepada para barisan hadapan negara dan juga golongan sukarelawan. – Gambar serahan Dayang Julia
Awang Abdul Aziz ketika mengagihkan pek bungkusan kepada orang ramai yang menanti giliran vaksinasi.

Berbagi rezeki, menanai amanah

Sementara itu, pelbagai barangan keperluan harian seperti air, beras, gula, mi segera, nasi campur dan sebagainya juga telah disumbangkan oleh orang ramai di negara ini di bawah anjuran Mutiara Dana telah diagih-agihkan kepada golongan barisan hadapan di seluruh pusat hospital di keempat-empat daerah di negara ini termasuklah Pusat Pengasingan COVID-19 di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Daerah Temburong.

Menurut Dayang Julia binti Johari selaku pengasas dana berkenaan mengungkapkan rasa kerendahan hati betapa besarnya jasa para barisan hadapan negara dan juga golongan sukarelawan yang tidak pernah kenal penat dan lelah dalam meniti hari-hari menangani krisis pandemik ini.

Maka dari situlah terdetiknya hati ini menubuhkan platform orang ramai untuk berbagi rezeki bersama mereka yang memerlukan bantuan termasuklah juga keperluan kepada para pesakit dan ahli keluarga yang terjejas mata pencarian mereka sehari-hari.

Tambahnya lagi, platform dana ini juga turut dibantu oleh beberapa kumpulan di bawahnya demi mengungkayahkan pengurusan dana meliputi pembelian, pengiraan sebelum dilakukan proses pengagihan kepada mereka yang dikenalpasti.

“Yakinlah rahmat Allah SWT akan sentiasa menyinari kehidupan kita jika kita benar-benar ikhlas dalam memberi pertolongan sesama manusia tanpa mengira agama, pangkat dan bangsa. Oleh itu, bersama-samalah kita memainkan peranan masing-masing dalam menjadi sukarelawan demi menyumbang dan menunjukkan cinta dan kasih sayang kita kepada tanah air ini lebih-lebih lagi ketika kita dilanda krisis sebegini,” tambahnya dengan penuh keyakinan dan harapan besar semasa mengakhiri sesi temu bual dalam talian bersama penulis.