Kepuasan pelanggan bakar semangat Babu Penyaram

Oleh Nurdiyanah R.

Takdir menjadi seorang ibu tunggal itu bukanlah penghalang untuk meraih kejayaan malah insan yang kini berusia dalam lingkungan 60an ini terus bangkit dengan berbekalkan kudrat dan upaya yang dimilikinya tanpa berputus asa dalam mengetengahkan keistimewaan kuih-muih tradisi Melayu untuk memperoleh sumber pendapatan dalam kehidupan sehari-hari.

“Tipulah jika tiada air mata yang gugur ketika mengenang cabaran dan dugaan yang pernah dihadapi selama ini, namun hal itulah yang mendidik diri untuk lebih kuat dalam meniti dunia keusahawanan ini dari hari ke hari.

“Di hadapan saya ada anak-anak dan cucu-cucu yang pastinya sentiasa memerlukan kasih sayang dan didikan sepenuhnya. Merekalah sumber kekuatan saya untuk sentiasa menceburi liku-liku dunia perniagaan ini sehingga sekarang selain izinNya jua,” kata penuh ketulusan diungkapkan oleh salah seorang pengusaha kuih-muih tradisi Melayu di Pasar Pelbagai Barangan Gadong, Hajah Timidah binti Haji Timbang atau lebih dikenali dengan nama Babu Penyaram semasa ditemui penulis, baru-baru ini.

Penyaram menerima pinangan hangat

Menjejak saja ke petak jualan Hajah Timidah ini, penggemar kuih-muih tradisi pasti tertawan. Ini kerana pelbagai kuih-muih tradisi ditawarkan di depan mata, menimbulkan rasa ingin membeli kesemuanya di kala perut sedikit berdendang. Antara yang mampu menggugat selera ialah apam, wajid, kelupis, kusoi, celurut, ardam dan sebagainya.

Namun salah satu produk yang menjadi kebanggaan Hajah Timidah dan sering dicari ramai ialah kuih penyaram yang masih mengekalkan keaslian rasa tradisi dengan teksturnya yang lembut dan rangup di tepinya, lebih-lebih lagi apabila dinikmati ketika masih panas, menjadikan ia sentiasa mendapat pinangan hangat daripada orang ramai dari hari ke hari.

Hajah Timidah atau lebih dikenali dengan nama Babu Penyaram berbekalkan kudrat dan upaya tidak berputus asa mengetengahkan kuih-muih tradisi Melayu dan menjadikannya sumber pendapatannya dalam kehidupan sehari-hari.
ATAS & BAWAH : Antara kuih-muih tradisi yang diketengahkan oleh Hajah Timidah.

Kuih-muih tradisi bukan sahaja dicari generasi lama, malah generasi baharu pun menggemari kuih-muih ini yang istimewa dan unik rasanya, lebih-lebih lagi yang dibuat oleh orang lama seperti Babu Penyaram.

“Menjadi kenangan manis yang tidak dapat dilupakan apabila melihat kepuasan pada wajah para pengunjung yang rata-rata menyatakan keenakan dan rasa yang penuh keaslian serta tidak begitu manis,” tambahnya dengan penuh kesyukuran dan keceriaan.

Bersama meraih rezeki yang halal

Sepanjang meniti dunia keusahawanan lebih 20 tahun ini, Hajah Timidah bukan hanya memfokuskan mencari pendapatan semata-mata bahkan beliau yang bersemangat tinggi ini juga menjadikannya sebagai suatu platform untuk sama-sama membantu masyarakat tempatan khususnya para belia yang memerlukan pekerjaan.

Dalam pada itu, beliau yang juga menyediakan perkhidmatan secara tempahan itu mengungkapkan kepuasan pelanggan menjadi kekuatan dan pencetus semangat juang beliau dalam meneruskan perjuangan dalam meniti dunia perniagaan berkenaan.

“Sudah semestinya dalam menyediakan masakan, perlulah menitikberatkan kebersihan daripada segala aspek tertentu meliputi bahan-bahan resipi termasuklah ramuan yang segar dan begitu juga penggunaan perkakas, persekitaran serta kebersihan diri. Hal ini amat penting dititikberatkan agar kualiti kebersihan makanan sentiasa terjamin untuk para pelanggan dari semasa ke semasa,” ujarnya lagi.

Yakin rezeki daripada Allah SWT

Walaupun terlalu banyak persaingan dalam dunia perniagaan ini, namun usahawan warga emas ini yakin dan percaya rezeki itu datangnya daripada Allah SWT selagi kita berusaha dengan penuh keikhlasan dan kerendahan hati, di samping menitikberatkan kualiti produk atau perkhidmatan dengan sebaik-baiknya.

“Apa pun perniagaan yang kita ceburi itu pasti akan membuahkan hasil daripada pengorbanan dan titik peluh selama ini. Oleh itu perlu diingat bahawa kegagalan dan jatuh bangun dalam perniagaan adalah lumrah dan kita perlu bersedia dengan semua kemungkinan yang bakal tiba. Sekali jatuh bukan bermakna kita akan jatuh selamanya. Jadikan perkara ini sebagai pembakar semangat kita untuk bangkit dan terus bangkit.

“Pokok pangkal untuk berjaya dalam bidang perniagaan adalah minat yang mendalam, kegigihan dan usaha yang tidak pernah kenal penat lelah. Dengan erti kata lain, usaha pasti akan membuahkan hasil kelak. Maka berusahalah dan terus berdoa agar urusan kita dipermudahkanNya,” nasihat Hajah Timidah yang menetap di Perpindahan Lambak Kanan, kepada masyarakat di negara ini semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.