Kepuasan pelanggan keutamaan pengusaha kedai gunting rambut

KUALA TERENGGANU – Bak kata pepatah ‘biar papa asal bergaya’ menunjukkan penampilan merupakan satu keutamaan bagi seseorang individu.

Tidaklah kira sama ada penampilan dari segi pakaian mahupun rupa paras termasuk dandanan rambut sangat penting untuk memperlihatkan keperibadian masing-masing.

Pada masa kini, tidak hanya golongan wanita yang mementingkan dandanan rambut, malah golongan lelaki kini mula turut mementingkannya. Sehingga banyak kedai gunting lelaki yang muncul dengan pelbagai tawaran, namun mereka terpaksa menggunakan pelbagai taktik untuk menarik pelanggan.

Melihatkan penampilan sekumpulan anak muda ini pasti ada yang mengandaikan mereka adalah peragawan atau pramugara. Dengan rupa yang tampan, bertubuh tinggi lampai dan segak berpakaian seragam, ramai yang tidak menyangka mereka adalah tukang gunting rambut di cawangan premium Matt Barber Shop (Matt Barber Shop Premium) di Kuala Terengganu, yang sentiasa memikat pelanggan melalui kehandalan menggunting pelbagai gaya rambut.

Bukan itu sahaja, pelanggan Matt Barber Shop Premium pasti akan terpukau dengan hiasan dalaman dan susun atur kedai gunting berkonsepkan moden dan eksklusif itu yang direka sendiri pemiliknya, Mohd Yusof Taib.

Pekerja Matt Barber Shop Premium, Mohd Islah Abdul Wahab (kanan) menggunting rambut pelanggan dengan gaya serta trend terkini di cawangan Matt Barber Shop Premium baru-baru ini. – Bernama
Hiasan dalaman dan susun atur Matt Barber Shop Premium berkonsepkan moden dan eksklusif yang direka sendiri pemiliknya, Mohd Yusof Taib. – Agensi
Ruangan tempat menunggu juga disediakan bagi para pelanggan yang datang ke kedai tersebut. – Bernama

Mohd Yusof berkata penampilan tukang gunting yang mempunyai ‘pakej lengkap’ dan hiasan dalaman kedai itu adalah inisiatifnya untuk tampil berbeza berbanding kedai gunting ‘hipster’ lain yang kini muncul ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

“Tukang gunting di cawangan premium ini adalah yang terpilih dari cawangan-cawangan Matt Barber Shop yang lain. Mereka bukan sahaja perlu kemas dari segi penampilan tetapi cara potong (rambut) mereka juga lebih maju.

“Pakaian seragam mereka juga saya yang reka. Ini bagi membezakan cawangan premium dengan cawangan-cawangan Matt Barber Shop yang lain,” katanya kepada media.

Selain itu katanya, cawangan premium itu juga menyediakan bilik ‘VIP’ bagi pelanggan yang inginkan suasana lebih tenang, selesa dan privasi.

“Apabila saya buat kelainan di cawangan premium ini beberapa tahun lepas, sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Sejak itu, saya sedar bahawa kini pelanggan sudah tidak mahu kedai gunting yang biasa. Mereka mahukan sesuatu yang luar biasa dan sanggup untuk membayar lebih,” katanya.

Matt Barber Shop Premium menyediakan pelbagai perkhidmatan menggunting rambut kepada pelanggan lelaki pelbagai peringkat umur dengan harga antara RM10 hingga RM50.

Mohd Yusof yang berusia 38 tahun itu berkata minatnya terhadap bidang gunting rambut berputik sejak kecil lagi apabila melihat ibu bapanya menggun-ting rambut beliau dan adik-adiknya.

“Saya ada lapan adik-beradik dan lima daripada kami adalah lelaki. Jadi, kalau hendak bawa kami berlima gunting rambut sekurang-kurangnya dua minggu sekali di kedai memang mahal jadi emak dan ayah yang gunting sendiri rambut kami, dari situ saya nekad untuk membuka kedai sendiri,” kata anak sulung itu.

Pada tahun 2006, Mohd Yusof mula berkecimpung dalam bidang itu dengan bekerja di kedai gunting selama tiga bulan sebelum membuka kedai sendiri di Wakaf Tebesu. Namun, perjalanan pemuda ini dalam bidang perniagaan tidak semuanya indah apabila terpaksa beberapa kali ‘menutup’ kedainya kerana kekurangan ilmu perniagaan.

Kini setelah 14 tahun, beliau mampu tersenyum bangga apabila berjaya membuka 10 buah cawangan Matt Barber Shop iaitu dua cawangan premium di Kuala Terengganu dan Kuantan, Pahang serta lapan buah cawangan biasa di sekitar Kuala Terengganu serta Kemaman.

Dengan slogan ‘#andapastikacak,’ Matt Barber Shop mempunyai 50 orang tukang gunting yang terlatih dan berpengalaman luas termasuk enam orang tukang gunting di cawangan premium Kuala Terengganu dan empat di Kuantan.

Rasa cinta terhadap bidang gunting rambut juga membuatkan anak jati Kuala Terengganu ini membuka Akademi Matt Barber sejak 2016, bagi melahirkan pelapis tukang gunting rambut yang berkemahiran tinggi.

Kini, Akademi Matt Barber yang terletak di Padang Midin, telah melahirkan lebih 100 orang tukang gunting yang terlatih dan mempunyai sijil.

“Melalui akademi ini juga kita buat amal kebajikan dengan menghantar para pelajar menjalani latihan praktikal di beberapa tempat seperti rumah anak-anak yatim, sekolah agama dan sekolah rendah,” katanya.

Meskipun telah mengecapi kejayaan, namun Mohd Yusof tidak mudah berpuas hati dan merancang untuk melebarkan sayap ke seluruh negara. Dalam pada itu, Mohd Yusof juga yakin keputusannya menceburi bidang penggayaan rambut adalah tepat memandangkan masa depan dalam bidang ini sangat cerah dan tidak akan lapuk dek zaman.

“Kemahiran ini (gunting rambut) sentiasa diperlukan dan tidak boleh dijual secara dalam talian. Relevan atau tidak bidang ini kita perlu lihat negara-negara maju seperti United Kingdom, di sana masih banyak kedai gunting dibuka di tepi-tepi jalan.

“Lagipun, bidang ini tidak boleh diciplak atau ditiru. Hanya mereka yang rajin belajar untuk meningkatkan kemahiran akan berjaya,” katanya. – Bernama