Kepulangan Aidilfitri, kekurangan vaksin risikokan Bangladesh

DHAKA, 13 MEI – Berpuluh-puluh juta penduduk meninggalkan ibu negara Bangladesh hari ini untuk pulang ke kampung halaman bersama keluarga meraikan Hari Raya Aidilfitri, di sebalik amaran keras bahawa kepulangan beramai-ramai akan memburukkan lagi jangkitan koronavirus yang sedang meningkat di negara itu.

Orang ramai berhimpun di pintu keluar dari Dhaka, mengingkari perintah berkurung seluruh negara yang berkuat kuasa sehingga Ahad dan penggantungan perjalanan jarak jauh bagi bas penumpang, kereta api dan feri.

Pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk tidak menunaikan sembahyang berjemaah Aidilfitri sebaliknya sembahyang secara berfasa di lebih 300,000 masjid dengan mematuhi peraturan kesihatan.

Pegawai kesihatan bimbang perjalanan beramai-ramai yang agak kelam-kabut akan merebakkan lagi koronavirus, khususnya bagi varian India yang lebih merbahaya, dikesan dalam kalangan penduduk 160 juta orang itu dan menterbalikkan jumlah jangkitan menurun yang sukar diperolehi berikutan perintah berkurung selama beberapa minggu sebelum ini.

Polis dan halangan dikerahkan ke lebuh raya dan terminal feri gagal menghalang kepulangan beramai-ramai menandakan berakhirnya bulan puasa selama sebulan.

Ramai orang berjalan atau menaiki trak barangan atau kenderaan bermotor kecil yang berisiko untuk ke terminal feri tempatan dalam usaha menyeberangi sungai besar. Sekurang-kurangnya lima orang mati dalam rempuhan semenjak Rabu apabila orang ramai menaiki feri dan melebihi had muatannya. Hari ini, mayat keenam ditemui dari perairan selepas sebuah kereta jatuh ke dalam sungai ketika ia bergegas mendapatkan ruang dalam sebuah feri.

Shila Akhter, seorang pekerja di sebuah syarikat swasta, mengatakan dia terdesak mahu menyertai keluarganya. “Sebagai seorang Muslim, kami meraikan Aidilfitri bersama keluarga kami,” katanya. “Dhaka hanyalah tempat bekerja bagi kebanyakan kami dan kami bekerja sepanjang tahun. Maka sekali setahun, kami perlu pulang kampung menemui anak dan ibu bapa kami. Merekalah alasan saya perlu pulang,” tambahnya.

Industri pakaian negara itu, berpusat di Dhaka, menggaji kira-kira 4 juta pekerja, kebanyakannya wanita dari kawasan pedalaman. – AFP

Beribu-ribu berebut menaiki feri untuk pulang ke tempat asal mereka bagi meraikan Hari Raya, di terminal feri Mawa, mengingkari risiko jangkitan koronavirus di Munshiganj, Bangladesh. – AFP