LIVERPOOL, 24 April – Bekas pemain Liverpool, Christian Benteke telah mengejutkan bekas kelabnya dengan menghasilkan dua jaringan bagi Crystal Palace dalam kemenangan 2-1 di Anfield kelmarin, menjejaskan jaminan pasukan tuan rumah bagi mengakhiri musim di empat kedudukan teratas.
Benteka telah memberikan rangsangan besar kepada harapan Palace untuk kekal, dengan jaringan di setiap separuh masa bagi membatalkan jaringan pembukaan Coutinho untuk Reds.
Liverpool telah membelanjakan 32 juta pound untuk membeli Benteke apabila mereka menandatanganinya dari Aston Villa pada tahun 2015 tetapi menjualnya kepada Palace dengan jumlah 27 juta pound setahun kemudian.
Pemain Belgium berusia 26 tahun itu telah membuatkan Liverpool menyesal dengan keputusan itu apabila menjaringkan gol pada minit ke-42 dan 74, yang menyaksikan Palace tujuh mata di atas zon penyingkiran Liga Perdana.

Tetapi kekalahan skuad Jurgen Klopp menyebabkan mereka hanya dua mata di depan Manchester City yang berada di tangga keempat, dan tiga mata di depan Manchester United.
Kedua kelab Manchester itu mempunyai kelebihan dua perlawanan dalam usaha merebut slot Liga Juara-Juara, bermakna nasib Liverpool tidak lagi berada di genggaman mereka.
Di awal perlawanan itu, barisan pemain Liverpool mula mempamerkan serangan licik mereka dan satu pusingan bijak Roberto Firmino melepasi dua pertahanan Palace telah menghasilkan satu serangan.
Dia mencuba untuk memberikan hantaran Coutinho yang berada di tepi padang, tetapi secara tidak sengaja Georginio Wijnaldum menjadi penghalang dan mengakhiri gerakan serangan itu.
Sementara Palace tidak begitu memberikan ancaman serangan, tetapi pada minit ke-21 mereka nyaris mengejutkan tuan rumah apabila Benteke membuat asakan ke gawang Reds. – AFP