Kepulangan Messi dinanti

BUENOS AIRES, 7 Mac – Pemenang anugerah pemain terbaik dunia sebanyak lima kali, Lionel Messi diramalkan menamatkan keadaan ‘buangan’ selama lapan bulan dan akan dipanggil semula bersama skuad Argentina menjelang aksi persahabatan sebelum Copa America.

Tetapi penyerang Barcelona berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan hamstring dan meskipun dia bersetuju untuk kembali, dia mungkin tidak cergas untuk bermain dalam dua perlawanan persahabatan menentang Venezuela dan Maghribi. Jurulatih sementara, Lionel Scaloni dijangka menamakan skuadnya bagi perlawanan-perlawanan persahabatan hari ini.

Messi masih belum menyarung jersi biru dan putih itu sejak Argentina tersingkir dari Piala Dunia Jun lalu oleh Perancis.

“Dia juga menolak untuk memberikan komen mengenai masa depan antarabangsanya dalam tempoh lapan bulan ini.

“Saya harap, mahu dan percaya Leo akan kembali bersama pasukan kebangsaan,” kata Scaloni tahun lepas.

Messi telah terlepas enam perlawanan persahabatan sejak Piala Dunia di Rusia, tetapi sebahagian besar pakar percaya dia akan menjadi sebahagian daripada skuad Argentina bagi Copa Amerika hujung tahun ini.

Meskipun mempunyai koleksi trofi yang banyak pada peringkat kelab, Messi sudah kesuntukan masa untuk merasai kejayaan di peringkat antarabangsa bersama Argentina.

Dia berada dalam pasukan yang kalah di final tiga tahun berturut-turut, pertama tewas kepada Jerman di Piala Dunia Brazil, kemudian tewas dua kali kepada Chile menerusi penentuan sepakan penalti

Meskipun mempunyai sembilan gelaran La Liga, empat mahkota Liga Juara-Juara bersama Barcelona, satu-satunya kejayaan Messi di peringkat antarabangsa adalah menjadi sebahagian dari skuad bawah-23 yang memenangi pingat emas di Olimpik Beijing 2008. – AFP