Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Kepulangan Wawrinka tidak seperti yang diharapkan

    MONTE CARLO, MONACO, 12 APRIL – Stan Wawrinka tewas kepada Alexander Bublik dalam pusingan pembukaan Monte Carlo Masters kelmarin ketika juara Grand Slam tiga kali itu bermain dalam perlawanan Jelajah ATP pertamanya dalam tempoh 13 bulan.

    Wawrinka, yang memenangi gelaran Monte Carlo pada 2014, tewas 3-6, 7-5, 6-2 kepada Bublik, sekembalinya daripada kecederaan kaki kiri yang memaksanya menjalani dua pembedahan pada tahun lalu.

    Pemain berusia 37 tahun itu tidak dapat mengekalkan rentak permainan menentang Bublik, 24, yang meraih kemenangan pertamanya pada acara tersebut dalam tempoh dua jam dan lima minit.

    “Saya fikir hari ini adalah perlawanan yang positif. Ia adalah kekalahan yang sukar tetapi saya gembira dengan prestasi saya bermain,” tambah Wawrinka.

    “Saya bermain dengan lebih baik, berasa lebih baik di gelanggang, sudah tentu dari segi fizikal. Saya menghabiskan banyak tenaga mental untuk fokus, untuk kekal di sana kerana ia sukar pada penghujungnya. Walau bagaimanapun, saya gembira dengan apa yang telah saya lakukan.”

    Aksi Stanislas Wawrinka semasa membalas bola daripada Alexander Bublik dalam perlawanan pembukaan Monte Carlo ATP Masters di Monaco. –AFP

    Bekas pemain nombor tiga dunia tersebut turun ke kedudukan ke-236 dalam ranking selepas kali terakhir beraksi pada jelajah utama di Qatar pada Mac 2021.

    Pemain Switzerland itu mengambil langkah tentatif pertamanya sejak kembali ke gelanggang pada acara Challenger peringkat kedua di Marbella bulan lalu tetapi tewas pada pusingan pertama.

    Bublik, yang berada di ranking ke-36, akan bertembung dengan Pablo Carreno Busta pada pusingan kedua, pemain Sepanyol itu mengatasi pemain kelayakan Argentina, Sebastian Baez dengan keputusan 6-4, 4-6, 6-2.

    Pemain Argentina, Federico Delbonis menewaskan Jaume Munar dengan keputusan 6-4, 3-6, 6-4 untuk mengatur pertembungan dengan pilihan kedua iaitu Alexander Sverev dari Jerman.

    Manakala Fabio Fognini dari Itali, yang berada di ranking ke-32, mengambil masa dua jam dan 29 minit untuk mengatasi pemain Perancis, Arthur Rinderknech dengan keputusan 7-5, 4-6, 6-3 dan seterusnya bertemu pemain pilihan ketiga dari Greece, Stefanos Tsitsipas. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...