TARAKAN, INDONESIA, 2 OKT – Kepulauan Borneo yang meliputi tiga negara, Malaysia, Indonesia dan Brunei mampu menjadi kuasa ekonomi di rantau Asia, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata kepu-lauan itu yang meliputi Sabah dan Sarawak (Malaysia), Kalimantan (Indonesia) dan Brunei kaya dengan sumber semula jadinya terutamanya minyak dan gas.
Katanya, kedudukan kepulauan ini yang terletak berhampiran dengan China dan Korea Selatan juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
“Saya yakin Borneo mampu menjadi kuasa ekonomi di rantau ini bukan sahaja disebabkan memiliki kawasan yang luas tetapi sumbernya dan kedudukannya,” katanya ketika berucap pada majlis kunjungan hormat ke atas Gabenor Kalimantan Utara Dr Ir. H. Irianto Lambrie di sini, hari ini.
Kunjungan itu sempena lawatan kerja beliau ke Balikpapan di Kalimantan Timur dan Tarakan Kalimantan Utara selama tiga hari yang berakhir hari ini.
Mohd Shafie berkata sudah sampai masanya kerjasama perdagangan melibatkan Sabah dengan Kalimantan dipertingkatkan untuk manfaat bersama.
Katanya Sabah dengan jumlah penduduk seramai 3.9 juta orang merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak dan kaya dengan sumber semula jadi dengan menjadi negeri pengeluar minyak terbesar negara dan pengeluar gas kedua terbesar selepas Sarawak.
Sementara itu, H. Irianto menyifatkan kunjungan ketua menteri itu sebagai usaha untuk meningkatkan kualiti kerjasama antara Kalimantan dan Sabah yang telah lama terjalin sejak 20 tahun lepas. – Bernama



































