Kepulauan Cook tukar nama baharu

AVARUA, Kepulauan Cook, 5 Mac – Negara Pasifik terkecil, Kepulauan Cook mempertimbangkan untuk menukar nama negara itu kepada sesuatu yang boleh memberi gambaran kepada budaya Polinesia, berbanding memberikan penghormatan kepada penjelajah Britain, James Cook.

Kerajaan di negara itu telah membentuk sebuah jawatankuasa pada Januari lalu untuk mencari satu nama asli yang baharu bagi gugusan kepulauan yang terdiri dari 15 buah pulau, kira-kira 3,000km dari timur laut New Zealand.

Pada awalnya, ideanya adalah untuk memiliki ciri nama panggilan asli di samping nama Kepulauan Cook yang sedia ada, dalam satu langkah sama yang diambil oleh jiran terdekat negara itu yang kadangkala dikenali sebagai Aotearoa-New Zealand.

Namun, pengerusi jawatankuasa, Danny Mataroa, semalam berkata setelah rundingan bermula, jelas terdapat sokongan untuk meletakkan nama Kepulauan Cook bersama satu perkataan tempatan sebagai Kepulauan Cook Maori.

“Apabila anggota jawatankuasa, yang terdiri daripada sejarawan dan rakyat Kepulauan Cook yang mempunyai pengetahuan tradisi yang mendalam bertemu, kami memutuskan sudah tiba masa-nya untuk menukar nama negara,” katanya kepada AFP.

Mataroa berkata nama baharu itu seharusnya memberi gambaran kepada warisan negara itu, rakyatnya dan kepercayaan kuatnya terhadap agama setempat.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Mark Brown, menyokong langkah berkenaan, namun berkata perjalanan masih jauh untuk dihadapi sebelum negara dengan jumlah penduduk seramai 12,000 orang itu menukar namanya.

“Saya gembira untuk melihat satu nama tempatan diletakkan di samping nama negara kita yang lebih mencerminkan keindahan Polinesia yang sebenar,” katanya kepada Radio New Zealand. – AFP