Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Biasiswa sukacita memaklumkan bahawa keputusan permohonan Skim Biasiswa Pendidikan Teknikal dan Vokasional (BPTV) bagi pelajar baharu sesi akademik 2020/2021 telah dikeluarkan.
Pemohon yang berjaya juga dikehendaki untuk menghadiri sesi taklimat dan penyerahan surat tawaran yang akan diadakan pada 14 Oktober di Dewan Annajah, Institut Perkhidmatan Awam mengikut kumpulan yang ditetapkan.
Kumpulan A bagi pelajar yang ditawarkan di Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmpolitan (CCCT) bagi pelajar bilangan 1-75 yang mana waktu taklimat bermula pukul 8 hingga 9:45 pagi.
Kumpulan B adalah bagi pelajar yang ditawarkan di CCCT, bilangan 76-143 dan Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (KIGS) yang mana sesi taklimat bermula pukul 10 hingga 11:45 pagi.
Sementara itu, Kumpulan ‘C’ dikhususkan bagi pelajar yang ditawarkan di Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), Kolej Antarabangsa Micronet (MIC) dan Institut Kemuda (KI) yang mana sesi taklimat bermula pukul 2:30 hingga 3:45 petang.
Pemohon-pemohon Skim BPTV sesi akademik 2020/2021 boleh mendapatkan keputusan permohonan mereka dengan melayari laman web rasmi Kementerian Pendidikan, www.moe.gov.bn, selain merujuk ke Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan atau menghubungi talian 2380019.