Keputusan Brunei-Cambridge G.C.E. ‘AS’, ‘A’ Level Okt/Nov 2018

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Peperiksaan hari ini telah mengeluarkan keputusan Peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. ‘AS’ dan ‘A’ Level Okt/Nov 2018.

Daripada 1,713 calon, 1,608 atau 93.87 peratus mendapat sekurang-kurangnya 1 ‘A’ level. Pencapaian ini meningkat 0.65peratus berbanding tahun 2017.

Pada keseluruhannya calon yang memperolehi sekurang-kurangnya 2 ‘A’ level adalah 85.99 peratus dengan peningkatan 3.86 peratus yang mana pencapaian calon sekolah adalah 91.32 peratus dengan peningkatan 4.01 peratus.

Seramai 1,201 calon atau 70.11 peratus mendapat sekurang-kurangnya 3 ‘A’ level. Pencapaian ini meningkat 5.21 peratus daripada 2017. Pencapaian calon sekolah adalah 75.55 peratus dengan peningkatan 5.49 peratus.

Pada keseluruhannya 191 calon atau 11.15 peratus berjaya mencapai gred ‘A’ dalam 2 hingga 4 mata pelajaran. Pencapaian ini meningkat sebanyak 1.74 peratus berbanding tahun 2017.

Pada keseluruhannya 15 mata pelajaran menunjukkan peningkatan di antara 0.01 peratus dan 43.07 peratus daripada pencapaian calon pada tahun 2017. Mata-mata pelajaran tersebut ialah Hafaz Al-Quran, Syariah, Bahasa Melayu, Travel & Tourism, History, Thinking Skills, Business, Information Technology, Literature in English, Geography, Chemistry, Physics, Accounting, Economics dan Mathematics. Manakala 3 mata pelajaran menunjukkan pencapaian yang sama seperti pencapaian tahun 2017, 100 peratus bagi mata pelajaran Further Mathematics, Physical Education dan Design and Technology.

Sementara itu, daripada 1,199 calon yang menduduki peperiksaan AS level, 1,129 calon atau 94.16 peratus telah berjaya memperolehi sekurang-kurangnya 1 mata pelajaran. Seramai 765 calon atau 63.80 peratus telah memperolehi sekurang-kurangnya 2 mata pelajaran berstandard ‘AS’ level.

Pada keseluruhannya 88 calon atau 7.42 peratus berjaya mencapai gred ‘A’ dalam sekurang-kurangnya dua mata pelajaran.

Dimaklumkan juga kepada penuntut yang mengambil peperiksaan tersebut bolehlah mendapatkan slip keputusan di sekolah masing-masing. Manakala calon-calon persendirian dikehendaki mengambil slip keputusan mereka di Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan pada waktu pejabat dibuka.

Dalam perkara ini juga, sukacita disampaikan mana-mana calon yang berhasrat untuk memperbaiki pencapaian keputusan peperiksaan Brunei-Cambridge GCE ‘AS’ dan ‘A’ Level, pendaftaran bagi bulan Mei/Jun Tahun 2019 masih dibukakan dan tarikh tutup pendaftaran ialah pada hari Khamis, 14 Februari 2019.

Calon-calon juga hendaklah mengambil perhatian tarikh tutup pendaftaran bagi penuntut yang mendaftar di sekolah hendaklah merujuk kepada guru sekolah masing-masing.

Maklumat lanjut bagi pendaftaran peperiksaan bagi bulan Mei/Jun Tahun 2019 bolehlah melayari laman sesawang Kementerian Pendidikan di www.moe.gov.bn atau datang terus ke Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan pada waktu pejabat dibuka.