Keputusan mengenai PKP hanya dibuat selepas penilaian KKM

KUALA LUMPUR, 26 JAN – Sebarang keputusan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas 4 Februari hanya akan dibuat setelah penilaian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata  Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata keputusan juga akan mengambil kira kepentingan keseluruhan
rakyat termasuk sektor ekonomi.

“Maklumat tersebar mengenai kerajaan akan melaksanakan sekatan pergerakan penuh seperti PKP 1.0 menimbulkan kebimbangan sehingga ada yang membuat pembelian panik, saya ingin menyatakan bahawa keputusan hanya akan dibuat selepas mesyuarat MKN (Majlis Keselamatan Negara) apabila hampir tiba tempoh tamat (PKP) pada 4 Februari nanti,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini hari ini.

Sebelum ini terdapat laporan media yang menyatakan kerajaan akan melaksanakan PKP lebih ketat seperti yang pertama kali diadakan di negara ini termasuk menutup semua sektor ekonomi untuk mengekang penularan COVID-19.

Sementara itu, mengulas laporan media Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa PKP selepas 4 Februari akan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Ismail Sabri berkata ianya hanya bayangan dan harapan ketua pengarah itu.

“DG (Ketua Pengarah Kesihatan) cuma berikan bayangan, tetapi ianya difahami seolah-olah keputusan telah dibuat, keputusan sebenar hanya akan diumumkan bila KKM telah berbincang dengan MKN nanti,” katanya.

Semalam media melaporkan Dr Noor Hisham berkata PKP tidak akan disambung sebaliknya akan digantikan dengan PKPB selepas 4 Februari sehingga menimbulkan kekhuatiran  pelbagai pihak ia akan menyebabkan penularan COVID-19 sukar dikawal.

Menjelaskan lanjut mengenai keputusan yang akan diambil kerajaan berkenaan PKP itu kelak, Ismail Sabri berkata, walaupun ada pihak bersetuju dengan pelaksanaan PKP lebih ketat dengan menutup sebahagian sektor ekonomi tetapi kerajaan juga perlu mempertimbangkan ekonomi rakyat. – Bernama

Peringatan amalan memakai penutup mulut dan hidung dipaparkan pada papan tanda elektronik sebagai peringatan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19, kelmarin. – Bernama