Wednesday, April 24, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Keputusan musabaqah Al-Quran diumumkan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Seramai 54 orang peserta terdiri daripada 41 orang qari dan 13 orang qariah telah menyertai Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1444H/2023M yang diadakan dari 21 hingga 23 November.

    Sehubungan itu, majlis pengumuman keputusan musabaqah membaca Al-Quran tersebut diadakan di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Hajah Siti Mahyana binti Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Yahya, selaku Pengerusi Bersama Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1444H/2023M.

    Acara diteruskan dengan pengumum-an keputusan musabaqah oleh Pemangku Penolong Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, selaku Pengerusi Jemaah Hakim Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1444H/2023M.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim semasa menyampaikan cenderahati kepada salah seorang peserta.
    Antara yang menghadiri majlis tersebut.

    Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid bertajuk ‘Al-Quran Syafaat’ oleh penuntut-penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, diikuti dengan persembahan bacaan Al-Quran daripada wakil peserta yang terpilih ke Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan.

    Seterusnya majlis penyampaian cenderamata kepada para peserta dan hakim musabaqah yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

    Penganjuran musabaqah membaca Al-Quran itu dihasratkan agar dapat memberikan pendedahan dan galakan kepada qari dan qariah di negara ini dalam meningkatkan mutu pembacaan Al-Quran mereka.

    Selain itu, ia bertujuan untuk membuka minda dan minat masyarakat untuk berjinak-jinak dalam mempelajari teknik bacaan yang betul dan lebih teratur.

    Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan merupakan projek tahunan KHEU dan diadakan secara berperingkat-peringkat iaitu melalui peringkat daerah, masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara.

    Ia juga merupakan laluan permulaan dan medan untuk para qari dan qariah negara melangkah ke peringkat akhir kebangsaan.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...