Tuesday, October 15, 2024
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keputusan ‘O’ Level menunjukkan peningkatan

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Feb – Seramai 3,036 calon daripada 7,023 calon iaitu sebanyak 43.23 peratus calon yang menduduki Peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. ‘O’ Level serta Peperiksaan IGCSE Oktober/November 2016 telah berjaya memperoleh sekurang-kurangnya 4 kredit ‘O’ Level/IGCSE.

    Sementara itu, seramai 1,071 orang calon atau 15.25 peratus mendapat lapan ke 11 kredit ‘O’ Level/IGCSE dan seramai 2,497 calon atau 35.55 peratus mendapat lima ke 11 kredit ‘O’ Level/IGCSE yang mana keramaian calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lima ‘O’ Level dalam kalangan calon-calon sekolah kerajaan mencapai 37.01 peratus.

    Pencapaian calon peperiksaan itu dikeluarkan oleh Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan bagi keputusan Peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. ‘O’ Level serta Peperiksaan IGCSE Oktober/November 2016, dalam kenyataan, Kementerian Pendidikan, kelmarin.

    Kenyataan turut menyatakan, seramai 254 calon (3.77 peratus) mendapat gred A dalam lima hingga 11 mata pelajaran di mana pencapaian itu termasuk 147 calon (2.38 peratus) dari sekolah kerajaan dengan peningkatan sebanyak 0.53 peratus.

    Di samping itu, seramai 22 calon (0.33 peratus) menunjukkan keputusan cemerlang dengan pencapaian agregat 6 dan gred A*(1) dalam 6 hingga 10 mata pelajaran.

    Begitu juga pencapaian calon yang memperoleh gred A dalam enam hingga tujuh, lapan dan sembilan mata pelajaran masing-masing berjumlah 64 calon (0.95 peratus) , 55 calon (0.82 peratus), 26 calon (0.39 peratus) dan 12 calon (0.18 peratus).

    Kenyataan menyatakan lagi bahawa terdapat dua buah sekolah yang telah berjaya mencapai keputusan 100 peratus dalam prestasi pencapaian calon yang memperoleh lima mata pelajaran kredit ke atas iaitu Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar (B) dan Sekolah Arab Sungai Akar.

    Sementara itu, sebuah sekolah iaitu Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan telah berjaya mencapai keputusan 99.53 peratus dan sebanyak 18 buah sekolah termasuk 14 buah sekolah kerajaan menunjukkan peningkatan di antara 0.75 peratus hingga 21.01 peratus berbanding pencapaian pada 2015.

    Manakala itu, seramai 646 orang calon yang terdiri daripada kalangan pelajar yang mengikuti Program Pendidikan Menengah General 4 Tahun (Tahun 10) dalam SPN21, iaitu yang mengikuti dua tahun menengah bawah dan dua tahun menengah atas, seramai 467 orang (72.29 peratus) ialah calon dari sekolah menengah kerajaan.

    Jumlah calon sekolah menengah kerajaan yang memperoleh lapan ke 11 ‘O’ level adalah 324 orang calon iaitu 69.38 peratus yang mana pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.18 peratus.

    Manakala itu, seramai 454 orang calon sekolah menengah kerajaan iaitu 97.22 peratus memperoleh lima ke 11 ‘O’ level dengan peningkatan sebanyak 1.39 peratus dan seramai 460 calon atau 98.50 peratus telah berjaya memperoleh sekurang-kurangnya empat ‘O’ level ke atas dengan peningkatan sebanyak 1.28 peratus berbanding pencapaian 2015.

    Menyentuh mengenai pencapaian dalam peperiksaan berkenaan dari segi mata pelajaran, kenyataan menjelaskan bahawa sebanyak 16 mata pelajaran daripada 30 mata pelajaran ‘O’ level yang diduduki menunjukkan peningkatan di antara 0.16 peratus dan 39.95 peratus dalam gred A hingga C iaitu mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam, English Language, Mathematics Syl. D, Chemistry, Combined Science, Kesusasteraan Melayu, Tafsir Al-Quran, History (Kod – 2134), History (Kod – 2171), Geography, Economics, Bahasa Arab, Statistics, Food and Nutrition, Art & Design dan Travel and Tourism.

    Sementara itu, menurut kenyataan berkenaan, bagi Peperiksaan IGCSE, daripada seramai 1,615 orang calon, seramai 131 orang calon (8.11 peratus) mendapat gred A hingga C bagi mata pelajaran English as a Second Language kod 510.

    Manakala bagi mata pelajaran IGCSE English as a Second Language kod 511, seramai 866 orang calon menduduki mata pelajaran itu dan jumlah calon memperoleh gred A hingga C ialah 125 atau 14.43 peratus di mana pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 1.39 peratus.

    Daripada seramai 2,752 orang calon yang menduduki IGCSE Mathematics, 15.95 peratus daripada mereka telah mencapai gred A hingga C dengan pencapaian itu meningkat sebanyak 2.56 peratus.

    Dalam mata pelajaran Bahasa Perancis, tiga calon iaitu 100 peratus telah berjaya mendapat gred A hingga C dengan peningkatan sebanyak 14.29 peratus.

    Bagi mata pelajaran Information and Communication Technology, pencapaian adalah 31.30 peratus. Sementara itu, pencapaian setiap mata pelajaran yang lain pula adalah Design and Technology sebanyak 46.72 peratus, Accounting sebanyak 32.50 peratus, Travel and Tourism sebanyak 80.77 peratus dan mata pelajaran Physical Education sebanyak 2.78 peratus iaitu meningkat sebanyak 2.78 peratus.

    Sehubungan dengan itu, pihak Jabatan Peperiksaan memaklumkan kepada penuntut-penuntut yang telah menduduki peperiksaan berkenaan, mereka boleh mendapatkan slip keputusan mereka di sekolah masing-masing pada waktu sekolah.

    Sementara itu, bagi calon-calon persendirian, mereka boleh mengambil slip keputusan masing-masing di Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan pada waktu pejabat dibuka.

    Pada masa yang sama, juga dimaklumkan kepada penuntut-penuntut dan orang ramai yang layak serta berhasrat untuk menduduki Peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. ‘O’ level pada Mei/Jun tahun 2017, mereka hendaklah mendaftar dengan secepat mungkin, terus ke sekolah masing-masing atau Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan (bagi calon persendirian) pada waktu pejabat dibuka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda