Keputusan penggredan alternatif Brunei-Cambridge G.C.E. ‘A’, ‘AS’ dan ‘O’ Level

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Peperiksaan telah mengeluarkan keputusan penggredan alternatif bagi Peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. ‘A’, ‘AS’ dan ‘O’ level dan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) Mei / Jun 2020, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan di sini, hari ini, bagi Peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. ‘A’ Level, keputusan penggredan alternatif bagi calon-calon yang mendapat sekurang-kurangnya satu ‘A’ level ialah 12 orang atau 100 peratus.

Pada keseluruhannya calon yang memperolehi sekurang-kurangnya dua ‘A’ level adalah lapan orang atau 66.67 peratus.

Bagi Peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. ‘AS’ Level pula, daripada 501 calon, seramai 498 calon atau 99.40 peratus telah berjaya memperolehi sekurang-kurangnya satu mata pelajaran. Calon yang memperolehi sekurang-kurangnya dua ‘AS’ level adalah seramai 428 atau 85.43 peratus.

Sementara itu, bagi Peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. ‘O’ Level dan IGCSE, seramai 536 calon (tidak termasuk yang menduduki satu atau dua mata pelajaran) yang meneruskan peperiksaan melalui kaedah penggredan alternatif mengambil antara tiga hingga tujuh mata pelajaran.

Dari segi calon yang mengambil antara lima hingga tujuh mata pelajaran adalah seramai 68 calon dan daripada jumlah ini seramai 34 calon memperolehi lima ‘O’ level kredit dan ke atas atau 50 peratus.

Sehubungan ini, Kementerian Pendidikan memaklumkan para penuntut yang mengambil penggredan alternatif tersebut bolehlah mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing.

Bagi calon-calon yang berhasrat menduduki peperiksaan Brunei-Cambrige GCE ‘O’/AS/A level dan IGCSE pada Oktober/November ini, bolehlah membuat pendaftaran sebagai calon Late Entry dengan dikenakan bayaran Late Entry Fee bagi setiap mata pelajaran yang diambil.

Borang dan maklumat pendaftaran boleh diperolehi di Jabatan Peperiksaan dan tarikh tutup bagi pendaftaran Late Entry tersebut adalah 10 September 2020.