Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Keputusan peperiksaan BCGCE ‘AS’ dan ‘A’ dikeluarkan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Peperiksaan telah mengeluarkan keputusan peperiksaan Brunei-Cambridge GCE Peringkat ‘AS’ dan ‘A’ Sesi Oktober/November 2022.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, seramai 1,154 orang calon telah menduduki peperiksaan BCGCE peringkat ‘AS’ sesi Oktober/November 2022. Daripada jumlah ini, seramai 1,151 merupakan calon sekolah.

    Seramai 684 calon sekolah (59.43 peratus) telah memperoleh dua ‘AS’ level dan ke atas. Manakala calon sekolah yang memperoleh tiga ‘AS’ level dan ke atas adalah seramai 423 (36.75 peratus).

    Manakala seramai 87 calon sekolah berjaya memperoleh gred A di dalam sekurang-kurangnya dua mata pelajaran. Daripada jumlah ini, seramai 62 calon telah memperoleh gred A di dalam dua mata pelajaran dan 25 calon telah memperoleh gred A di dalam tiga mata pelajaran dan ke atas.

    Sementara itu, bagi peperiksaan BCGCE Peringkat A, seramai 1,546 calon telah menduduki peperiksaan tersebut. Daripada jumlah ini, seramai 1,490 merupakan calon sekolah.

    Seramai 1,320 calon sekolah atau 88.59 peratus telah memperoleh dua ‘A’ level dan ke atas. Manakala calon sekolah yang memperoleh tiga ‘A’ level dan ke atas adalah seramai 1,103 (74.03 peratus).

    Manakala seramai 160 calon sekolah berjaya memperoleh gred A*/A dalam sekurang-kurangnya dua mata pelajaran. Daripada jumlah ini, seramai 62 calon telah memperoleh gred A*/A di dalam sekurang-kurangnya dua mata pelajaran dan 98 calon telah memperoleh gred A*/A dalam tiga mata pelajaran dan ke atas.

    Dengan pengeluaran keputusan Peperiksaan BCGCE Peringkat ‘AS’ dan ‘A’ Sesi Oktober/November 2022 ini, penuntut-penuntut yang telah menduduki peperiksaan tersebut bolehlah mendapatkan slip keputusan mereka di sekolah masing-masing pada waktu sekolah.

    Manakala calon-calon persendirian bolehlah mengambil slip keputusan masing-masing di kaunter Jabatan Peperiksaan, Pusat Perkhidmatan Setempat, Aras Bawah, Blok C, Kementerian Pendidikan pada waktu pejabat dibuka.

    Bagi mana-mana calon yang berhasrat untuk memperbaiki pencapaian keputusan mereka, pendaftaran bagi bulan Mei/Jun Tahun 2023 masih dibukakan dan tarikh tutup pendaftaran ialah pada 14 Februari.

    Manakala bagi calon-calon sekolah hendaklah menghadapkan permohonan melalui sekolah masing-masing.

    Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai pendaftaran peperiksaan bagi bulan Mei/Jun Tahun 2023 bolehlah melayari laman web Kementerian Pendidikan di www.moe.gov.bn atau melalui kaunter Jabatan Peperiksaan, Pusat Perkhidmatan Setempat, Kementerian Pendidikan pada waktu pejabat dibuka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...