Keputusan peperiksaan melalui perkhidmatan pesanan ringkas

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Keputusan peperiksaan B-C GCE ‘O’, ‘AS’ dan ‘A’ Level serta IGCSE bagi Mei dan Jun 2020 kini boleh diperolehi melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS).

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini menyatakan perkhidmatan tersebut adalah hasil kerjasama dengan Datastream Digital Sdn Bhd (DST), Progresif Cellular Sdn Bhd dan Mach Telecommunication System Sdn Bhd (MachTel). Para pelanggan iaitu pelajar dan ibu bapa yang ingin melanggan perkhidmatan ini dikehendaki untuk mendaftar secara atas talian melalui web portal Kementerian Pendidikan di www.moe.gov.bn atau portal e-Darussalam di www.gov.bn.

Pendaftaran juga boleh dibuat melalui telefon bimbit dengan perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) dan diperlukan untuk memasukkan teks berikut;MOE<jarak>REG<jarak>[KOD PUSAT]<jarak>[NOMBOR CALON]<jarak>[NOMBOR IC CALON] dan hantar ke 8885555 bagi pelanggan DST dan 38666 bagi pelanggan Progresif Cellular Sdn Bhd.

Tiada bayaran dikenakan bagi pendaftaran melalui web portal kementerian, portal e-Darussalam atau telefon bimbit, manakala langganan boleh bermula pada 25 Ogos.

Keputusan peperiksaan hanya akan dihantar kepada pelanggan melalui SMS setelah Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan mendapat kebenaran untuk mengumumkan keputusan peperiksaan berkenaan. Pelanggan akan dikenakan pembayaran $3 bagi setiap keputusan SMS yang diterima.

Kementerian Pendidikan berharap melalui perkhidmatan yang disediakan ini akan dapat memberi manfaat kepada orang ramai, terutama para ibu bapa dan pihak berkepentingan Kementerian Pendidikan secara umumnya.

Bagi maklumat lanjut, bolehlah menghantar e-mel kepada  [email protected] atau layari laman sesawang di http://www.machbrunei.com/moe