Keputusan permohonan BPTV keluar 4 Okt

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Kementerian Pendidikan memaklumkan orang ramai terutamanya pemohon Skim Biasiswa Pendidikan teknikal dan vokasional (BPTV) bahawa keputusan permohonan BPTV bagi sesi akademik 2021/2022 telah dikeluarkan hari ini.

Sehubungan itu, pemohon-pemohon Skim BPTV Sesi Akademik 2021/2022 bolehlah mendapatkan keputusan permohonan mereka dengan melayari laman web rasmi Kementerian Pendidikan, www.moe.gov.bn.

Manakala itu, surat tawaran bagi pemohon-pemohon yang berjaya akan dihantar melalui e-mel kepada alamat e-mel yang dinyatakan dalam borang permohonan mereka.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, pemohon-pemohon yang berjaya dikehendaki untuk menghadiri sesi taklimat yang akan diadakan secara maya pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Perincian mengenai sesi taklimat tersebut akan dihantar menerusi e-mel kepada pemohon-pemohon yang berjaya oleh Jabatan Pengurusan Biasiswa, Kementerian Pendidikan.

Untuk pertanyaan lanjut mengenai keputusan permohonan berkenaan, sila berhubung terus ke Jabatan Pengurusan Biasiswa, Kementerian Pendidikan di talian 2380019 semasa waktu bekerja pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 8 pagi hingga 2 petang.

Orang ramai juga boleh berhubung melalui hotline WhatsApp di talian 7104817 pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu bermula pukul 7:45 pagi hingga 12:15 tengah hari dan 1:30 petang hingga 4:30 petang atau e-mel ke [email protected]