Keputusan pertuduhan walkie-talkie Suu Kyi ditangguh lagi

YANGON,27 DIS – Mahkamah hari ini sekali lagi menangguhkan keputusan perbicaraan bekas pemimpin awam Myanmar digulingkan, Aung San Suu Kyi bagi pertuduhan mengimport walkie-talkie secara haram, menurut sumber kes terbabit.

Pemenang Hadiah Nobel itu ditahan sejak tentera melakukan rampasan kuasa terhadap kerajaannya pada 1 Februari lalu, sekali gus menjadikan ia tempoh demokrasi paling singkat di rantau Asia Tenggara.

Suu Kyi, 76, sepatutnya mendengar keputusan pertuduhan itu hari ini, namun hakim menangguhkan keputusan itu sehingga 10 Januari depan, kata sumber yang mengetahui kes itu kepada AFP, namun enggan memberikan butiran lanjut.

Junta berdepan bantahan terhadap tindakannya menggulingkan kerajaan awam Suu Kyi, dengan melancarkan tindakan keras berdarah yang menyaksikan lebih 1,300 terbunuh selain 11,000 lagi ditahan, menurut kumpulan pemantau tempatan. – AFP