‘Keputusan positif penting untuk ranking’

KUALA LUMPUR, 10 JUN – Ketua Jurulatih pasukan bola sepak negara, Tan Cheng Hoe menyifatkan bahawa kemenangan mutlak ke atas Timor Leste pada esok, penting untuk meningkatkan ranking dunia dan keyakinan pemain skuad Harimau Malaya, yang berada di tempat ke-168.

Pengendali berusia 51 tahun itu, dilihat tidak mahu berpuas hati dengan kemenangan 7-1 pada Jumaat lalu dalam aksi pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, tetapi bagaikan mahu meningkatkan jurang kemenangan pada aksi timbal balik di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Ranking sangat penting untuk undian pusingan kedua nanti, jadi saya nak pemain turun ke padang dengan misi untuk dapatkan keputusan yang positif esok. Perlawanan ini juga penting untuk meningkatkan keyakinan pasukan pada pusingan seterusnya, di mana kita akan bertemu pasukan yang lebih kuat,” katanya pada sidang media praperlawanan, di sini hari ini. Bekas jurulatih Kedah itu juga, masih berahsia mengenai barisan pemain yang bakal diturunkan, apabila berkata belum membuat keputusan sama ada mahu mengekalkan kesebelasan utama seperti aksi pertama atau memberi peluang kepada pemain lain.

“Selaku jurulatih, saya mahu pemain-pemain memberikan tumpuan dan semangat yang sama, turun ke padang dengan keyakinan yang sama, penumpuan sepenuhnya dan bermain dengan cara yang sama dalam perlawanan pertama. Kesemua pemain bersemangat dan dahagakan untuk bermain dan menyarung jersi Harimau Malaya, jadi saya perlu mencari kesebelasan terbaik esok, saya tidak mahu pemain merasa gentar dan tertekan esok,” katanya.

Beliau turut memuji aksi pemain prolifik negara, Safawi Rasid yang menunjukkan peningkatan dalam setiap aksi bersama pasukan kebangsaan, walaupun baru berumur 22 tahun. – Bernama