Keputusan PSR 2019 meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Keputusan Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2019 menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu dengan 5,056 calon atau 88.07 peratus memperoleh Gred A-D bagi lima mata pelajaran, meningkat 0.95 peratus berbanding tahun lalu.

Manakala bagi Gred A-C bagi lima mata pelajaran pula meningkat 0.55 peratus berbanding tahun lalu dengan 4,256 calon (74.13 peratus) lulus.

Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Peperiksaan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, sejumlah 5,741 calon menduduki peperiksaan tersebut dan sebanyak 19 buah sekolah mencapai keputusan 100 peratus Gred A-C bagi lima mata pelajaran, terdiri daripada 14 buah sekolah kerajaan dan lima buah sekolah swasta.

Manakala 60 buah sekolah kerajaan, termasuk lima buah sekolah arab telah menunjukkan peningkatan dalam lingkungan 0.81peratus hingga 55.56 peratus, manakala lima buah sekolah lagi sebanding pencapaiannya dengan tahun lepas.

Di samping itu juga, sebanyak 33 buah sekolah kerajaan termasuk lima buah sekolah Arab telah mencapai 80 peratus dan ke atas pada Gred A-C bagi kelima-lima mata pelajaran.

Sebanyak 43 sekolah mencapai keputusan 100 peratus lulus Gred A-D bagi lima mata pelajaran terdiri daripada 26 sekolah kerajaan (termasuk empat buah sekolah Arab) dan 17 sekolah swasta.

Bagi pencapaian calon yang memperoleh Gred A-C bagi lima mata pelajaran di kalangan calon-calon sekolah kerajaan mencapai 69.44 peratus dengan keramaian 2,750 calon daripada 3,960 calon yang mana menunjukkan peningkatan sebanyak 0.84 peratus berbanding tahun 2018.

Seramai 891 orang atau 15.52 peratus telah memperoleh keputusan yang cemerlang dengan mendapat Gred A dalam lima mata pelajaran.

Daripada jumlah tersebut, seramai 440 calon adalah terdiri daripada calon-calon sekolah kerajaan.

Secara keseluruhan seramai 770 calon daripada 891 calon yang mendapat lima Gred A adalah terdiri daripada rakyat Brunei.

Seramai 456 orang calon daripada sekolah kerajaan telah berjaya memperoleh empat Gred A dan satu Gred B.

Daripada segi kualiti pencapaian calon yang memperoleh tahap Gred A bagi setiap mata pelajaran, secara keseluruhan dalam mata pelajaran Melayu Islam Beraja 74.38 peratus, Bahasa Melayu 46.91 peratus, Bahasa Inggeris 30.33 peratus, Matematik 29.94 peratus dan Sains 51.91 peratus. Mata pelajaran-mata pelajaran yang meningkat berbanding pada tahun 2018 ialah Bahasa Melayu telah meningkat sebanyak 16.34 peratus, Matematik 0.02 peratus dan Melayu Islam Beraja 0.58 peratus.

Menurut kenyataan itu lagi, murid-murid yang menduduki peperiksaan itu boleh mendapatkan slip keputusan mereka di sekolah masing-masing manakala calon-calon persendirian boleh mendapatkan slip mereka di Jabatan Peperiksaan pada waktu pejabat.