Keputusan SPUB melalui SMS mula dibuka esok

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Pendaftaran bagi mendapatkan keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) tahun 1441H/2020M menerusi perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) dibukakan bermula esok pukul 2 petang.

Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Peperiksaan Jabatan Pengajian Islam (JPI) selaku Urus Setia Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama Brunei (LPPUB) dengan kerjasama Bahagian Teknologi Maklumat memaklumkan perkara berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Kenyataan menyatakan bahawa calon-calon peperiksaan, ibu bapa atau penjaga yang ingin melanggan perkhidmatan berkenaan dikehendaki mendaftar terlebih dahulu, sama ada secara dalam talian atau melalui perkhidmatan SMS di mana pendaftaran adalah percuma.

Pendaftaran secara dalam talian boleh dibuat menerusi laman sesawang KHEU, www.kheu.gov.bn.

Manakala itu, pendaftaran melalui perkhidmatan SMS boleh dibuat dengan menaip KHEU (jarak) REG (jarak) nombor pusat peperiksaan (jarak) nombor indeks calon (jarak) nombor kad pengenalan pintar dan hantar ke talian 8885555 bagi pelanggan DST atau 38666 bagi pelanggan Progresif.

Pendaftaran yang berjaya akan dimaklumkan kepada pelanggan melalui SMS tanpa sebarang kos kepada pelanggan.

Keputusan peperiksaan SMS hanya akan dihantar kepada pelanggan yang berdaftar setelah keputusan peperiksaan dikeluarkan dan pelanggan akan dikenakan caj $1 bagi setiap keputusan peperiksaan SMS yang diterima.

Sehubungan itu, para pelanggan diingatkan supaya memastikan telefon bimbit masing-masing mempunyai baki kredit yang mencukupi.

Melalui perkhidmatan itu, tambah kenyataan, diharap akan dapat memudahkan para calon, ibu bapa atau penjaga mengetahui keputusan peperiksaan SPUB secara individu dengan lebih cepat dan tepat.

Bagi sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai kaedah pendaftaran serta terma dan syarat bagi perkhidmatan tersebut bolehlah menghubungi Mach Telecommunication Sdn Bhd melalui e-mel [email protected]