Keputusan tunai haji bergantung kepada Arab Saudi

PUTRAJAYA, 4 MAC – Keputusan untuk menghantar jemaah Malaysia menunaikan haji tahun ini bergantung pada kelulusan daripada Arab Saudi dan situasi pandemik ketika itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Katanya beliau akan sentiasa berhubung dengan kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan perkembangan terkini berkaitan jemaah haji Malaysia.

“Setakat mana kebolehan untuk pergi ke Mekah ini amat bergantung pada keputusan kerajaan Arab Saudi dan situasi pandemik COVID-19 adakah reda dan melandai atau masih lagi dalam keadaan yang cukup mencabar.

“Ini bukan jemaah Malaysia sahaja tetapi seluruh dunia. Saya yakin kebijaksanaan (kerajaan Arab Saudi) dan melihat situasi (COVID-19) semasa, mereka akan buat keputusan,” katanya kepada media selepas melancarkan Kit Ramah dan menyampaikan kerusi roda kepada pesakit hospital, di sini hari ini.

Ditanya sama ada bakal jemaah haji akan diberi keutamaan menerima vaksin COVID-19 sekiranya ibadat itu dibenarkan, Zulkifli berkata perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet. – Bernama