Keputusan ujian ubat antibodi AZ memberangsangkan

LONDON, 19 NOV – Syarikat farmaseutikal AstraZeneca semalam mengumumkan bahawa ujian klinikal bagi ubat antibodi COVID-19 menunjukkan keberkesanan yang kuat dan pencegahan jangka masa panjang.

Syarikat tersebut mengikut langkah firma Amerika Syarikat (AS), Merck dan Pfizer, yang masing-masing mengumumkan pada Oktober dan awal November bahawa mereka telah mencipta ubat yang mampu mencegah penyakit teruk, dan dapat diambil semasa menunjukkan gejala ringan.

Ubat keluaran AstraZeneca, AZD7442, dihasilkan daripada gabungan dua antibodi, menjalani ujian klinikal peringkat terakhir sebelum penilaian mengenai keselamatan dan keberkesanannya.

Ujian susulan enam bulan menunjukkan keberkesanan yang kuat dari dos intraotot (IM) dengan gabungan antibodi yang tahan lama bagi jangka masa panjang,” menurut kenyataan.

Satu dos 300mg IM mampu mengurangkan risiko pembentukan gejala COVID-19 berbanding plasebo sebanyak 83 peratus, tambahnya.

Lebih 75 peratus sukarelawan yang mempunyai komorbiditi, menjadikan mereka berisiko tinggi kepada COVID-19 sekiranya dijangkiti, namun tiada kes teruk dicatatkan setakat ini.

“Keputusan yang dikumpulkan memberikan saya keyakinan bahawa gabungan antibodi yang tahan lama ini mampu memberikan pesakit yang terdedah dengan perlindungan berpanjangan yang sangat diperlukan untuk kembali ke kehidupan seharian mereka,” kata Hugh Montgomery, profesor ubat rawatan rapi di Kolej Universiti London. – AFP