Friday, December 6, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerabat diraja Sepanyol lawat mangsa banjir

    VALENCIA, 3 NOV – Raja Sepanyol, Felipe VI, bersama pegawai tertinggi kerajaan, dilempar lumpur oleh sekumpulan mangsa banjir yang marah ketika lawatan pertama pemimpin negara itu ke pusat kawasan bencana, hari ini.

    Perdana Menteri Pedro Sanchez terpaksa dipindahkan dari lokasi, menurut penyiar Sepanyol, RTVE, ketika rombongan rasmi mula berjalan di jalan-jalan berlumpur di Paiporta, salah satu kawasan paling teruk terjejas, di mana lebih 60 orang terkorban dan ribuan lagi turut terjejas.

    Polis setempat terpaksa campur tangan, termasuk beberapa pegawai berkuda, bagi mengawal sekumpulan orang ramai yang melempar lumpur serta menjulang-julang penyodok dan kayu dengan ancaman.

    “Keluar! Keluar!” dan “Pembunuh!” teriak orang ramai sambil melontarkan kata-kata hinaan lain. Pengawal keselamatan membuka payung untuk melindungi kerabat diraja dan pegawai-pegawai ketika lumpur terus dilempar ke arah mereka.

    Meskipun terpaksa berlindung, raja yang terkena lumpur di wajahnya kekal tenang dan beberapa kali berusaha berbicara dengan penduduk setempat. Seorang individu dilihat menangis di bahunya dan Baginda bersalaman dengan seorang lelaki.

    Raja Felipe VI ketika bercakap dengan para penunjuk perasaan di Paiporta, berhampiran Valencia, Sepanyol, kelmarin. – AP

    Insiden tersebut adalah kejadian luar biasa bagi Istana Diraja yang sangat menjaga imej raja sebagai pemimpin yang disayangi rakyat.

    Namun, kemarahan orang awam terhadap pengurusan krisis yang dianggap kelam kabut itu memuncak hari ini.

    Permaisuri Letizia dan Presiden Wilayah Valencia, Carlo Mazon, turut serta dalam rombongan itu. Permaisuri turut berbicara dengan beberapa wanita, dengan kesan lumpur kecil pada tangan dan lengannya.

    “Kami tidak ada air,” kata seorang wanita kepada permaisuri.

    Ramai penduduk masih kekurangan air bersih lima hari selepas banjir melanda. Paiporta, yang mempunyai 30,000 penduduk, masih dipenuhi dengan timbunan serpihan, kereta yang rosak dan lumpur. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda