Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 April – Seramai 172 murid Tahun 5 dan 6 Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB), semalam, telah menyertai ‘Pertandingan Cabaran Orienteering Rumah-rumah’ yang diadakan di Taman Komanwel.
Turut berkenan menyertai pertandingan ialah paduka anakanda dan cucunda-cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Haseeb.
Bersempena dengan topik akademik Tahun 5 mengenai penerokaan dan aktiviti-aktiviti orienteering yang mereka pelajari semasa pendidikan fizikal, pelajar-pelajar berkenaan dibahagikan kepada empat pasukan.
Setiap pasukan disediakan kompas dan diberikan had masa tertentu untuk menamatkan laluan orienteering berkenaan.



Kakitangan ISB sebelumnya telah meletakkan penanda di koordinat-koordinat berlainan di seluruh taman, setiap penanda mengandungi huruf abjad yang berlainan.
Objektif aktiviti berkenaan adalah untuk mencari huruf yang diperlukan bagi melengkapkan senarai perkataan yang telah ditetapkan lebih awal.
Salah seorang guru ISB, Jodie Fletton memberitahu, menerusi aktiviti berkenaan, para pelajar dapat menggunakan pengetahuan kelas dalam situasi sebenar. “Aktiviti seperti ini membolehkan pelajar memahami kepentingan kerja berpasukan,” ujarnya lagi.