Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Kerabat Rajapaksa digesa letak jawatan

    COLOMBO, 8 MEI – Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa muncul di khalayak ramai hari ini sejak bantahan seluruh negara meletus menuntut kaum kerabatnya untuk meletak jawatan berhubung krisis ekonomi yang semakin memburuk.

    Berbulan-bulan dalam kegelapan dan kekurangan makanan, minyak dan ubat-ubatan telah menyebabkan penderitaan di seluruh pulau Asia Selatan itu dalam kemelesetan ekonomi paling teruk sejak kemerdekaan pada 1948.

    Hari ini, perdana menteri itu mengunjungi salah sebuah kuil Buddha – menempatkan pokok berusia 2,300 tahun – di Anuradhapura.

    Namun puluhan orang ramai membawa sepanduk dan melaungkan slogan menggesa ‘pencuri’ itu agar dihalang memasuki bandar suci itu, 200km utara Colombo.

    “Kami akan memujamu jika kamu meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pergi dari sini,” jerit seorang lelaki.

    Polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan pelajar university yang menuntut peletakan jawatan presiden Sri Lanka. – AFP

    Komando STF dikerahkan ketika polis bergerak mengosongkan jalan untuk konvoi enam kenderaan Rajapaksa.

    Para pegawai berkata perdana menteri pulang ke bandar itu menggunakan helikopter.

    Beberapa jalan utama di negara itu disekat oleh orang ramai yang mengadakan bantahan atas kekurangan minyak masak, petrol dan diesel.

    Di bandar, sebuah trak mengangkut gas memasak telah dijarah hari ini oleh orang ramai yang sedang menunggu dalam barisan semalaman untuk bekalan tersebut.

    Polis yang bilangannya kecil hanya mampu menyaksiannya dan tidak berdaya untuk menghalang ketika lelaki menaiki trak dan membawa lari 84 gas silinder, kata pegawai.

    Kerajaan mengenakan perintah darurat dengan memberi tentera kuasa untuk menangkap dan menahan orang ramai pada Jumaat, selepas kesatuan perdagangan menyebabkan negara itu lumpuh dalam usaha untuk menekan Presiden Gotabaya Rajapaksa meletak jawatan.

    Kementerian pertahanan berkata hari ini yang penunjuk perasaan antikerajaan berkelakuan ‘provokatif dan mengancam’ serta menjejaskan perkhidmatan penting.

    Kesatuan berkata mereka akan mengadakan bantahan harian bermula esok untuk menekan kerajaan untuk membatalkan darurat tersebut. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...