Keraguan masih selubungi Belgium

BRUSSELS, 13 Jun – Mewah dengan pilihan penyerang, Belgium seharusnya menjadi kuasa besar untuk cemerlang di Piala Dunia.

Namun mereka mungkin menjadi pasukan yang longgar di bahagian pertahanan kerana kecederaan dan masalah kecergasan telah menghentam pemain-pemain pertahanan.

Hanya dua hari sebelum Martinez menamakan skuad akhirnya, pertahanan tengah, Vincent Kompany mengalami kecederaan groin dalam perlawanan menentang Portugal, meningkatkan kebimbangan bahawa dia mungkin terlepas kejohanan utama dua kali berturut-turut selepas diketepikan semasa Euro 2016 di Perancis.

Martinez memberikannya peluang sehingga perlawanan pembukaan Belgium dalam Kumpulan G, menentang Panama pada hari Isnin, untuk membuktikan kecergasannya.

Kapten Manchester City berusia 32 tahun itu bukan satu-satunya yang dirisaukan oleh Belgium, Toby Alderweireld (Tottenham), Thomas Meunier (PSG) dan Thomas Vermaelen (Barcelona) telah menghabiskan sebahagian besar musim kelab di bangku simpanan.

Di bahagian serangan juga berbeza. Romelu Lukaku menerajui serangan, dibantu oleh kepintaran Eden Hazar dan visi hebat Kevin De Bruyne di bahagian tengah.

Namun meskipun dengan bakat yang mereka ada, Belgium kerap terkandas di kejohanan utama, hanya mara ke suku akhir Piala Dunia 2014 dan Euro 2016.

Jurulatih

Ia memerlukan kekalahan kepada Wales pada Euro 2016 untuk Belgium menamatkan khidmat jurulatih Marc Wilmots dan kemudian beralih kepada Martinez, jurulatih dari Sepanyol yang mempunyai pengalaman dalam Liga Perdana Inggeris.

Martinez menerajui Belgium di kedudukan teratas peringkat kelayakan dengan rekod tanpa kalah. Namun ia masih belum jelas bagaimana jurulatih yang menghabiskan banyak masa melatih pasukan seperti Wigan, Swansea dan Everton akan menonjol di Piala Dunia.

Sekurang-kurangnya dia sudah memenangi satu trofi, menerajui Wigan bagi gelaran Piala FA dengan menewaskan Manchester City pada tahun 2013.

Penjaga gol

Dengan memiliki khidmat Thibaut Courtois di gawang menjadikan Belgium dicemburui dalam dunia bola sepak.

Tetapi pada satu malam bulan Mac di Barcelona, Lionel Messi telah menewaskan Courtois sebanyak dua kali menyebabkan penjaga gol Chelsea itu menerima kritikan antarabangsa buat pertama kali.

Bahkan penggantinya, Simon Mignolet, yang digugurkan ke bangku simpanan di Liverpool, juga tidak begitu meyakinkan.

Barisan pertahanan

Sebelum ini terkenal dengan kelonggaran pertahanannya, Belgium kemudian mengukuhkannya dengan pemain seperti Kompany, Alderweireld, Meunier dan Jan Vertonghen.

Namun dalam laluan ke Piala Dunia, hanya Vertonghen, yang baharu sahaja menjadi pemain Belgium pertama dengan 100 penampilan antarabangsa, menginspirasikan keyakinan dan bermain banyak perlawanan untuk Tottenham.

Setiap kali Kompany beraksi untuk Belgium, para pemerhati bimbang dia mungkin mengalami kecederaan lagi. Perkara itu kerap terjadi sehingga Martinez terpaksa menyenaraikan pertahanan Los Angeles FC, Laurent Ciman sebagai penggantinya.

Barisan tengah

Barisan tengah ini terletaknya genius-genius Belgium, dengan De Bruyne dan

Hazard menghasilkan gerakan dan hantaran bijak. Meskipun sinergi mereka di atas padang belum sempurna, Martinez dilihat hampir mencapainya.

Sekiranya Hazard dan De Bruyne gagal memberikan penguasaan secukupnya di bahagian tengah, Martinez telah menyenaraikan Adnan Januzaj, dengan harapan pada kebolehannya menewaskan pertahanan akan dapat memberi ruang kepada barisan penyerang.

Barisan penyerang

Lukaku, 24, sudah menjadi penjaring terbanyak sepanjang masa Belgium.

Semua harapan kepada kecergasan Lukaku dan menghasilkan prestasi terbaik di Piala Dunia selepas musim pertama yang cemerlang memimpin serangan Manchester United.

Martinez juga boleh menggunakan khidmat Dries Mertens, yang menjadi tonggak utama Napoli musim lalu dalam memburu gelaran Serie A. Michy Batshuayi pula menemui rentaknya semula bersama Dortmund dan akan menjadi pilihan bagi membantu Lukaku.

Kumpulan G

Selepas perlawanan pembukaan Isnin nanti menentang Panama, mereka akan berdepan Tunisia pada 23 Jun dan menamatkan aksi kumpulan dengan menentang England pada 29 Jun. – AP