Kerajaan baharu Palestin dibentuk

RAMALLAH, 30 Jan – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menerima peletakan jawatan kerajaannya semalam, dalam rombakan yang dilihat sebagai cubaan pemimpin berusia itu untuk mengukuhkan kedudukannya ketika perpecahan politik sedekad lamanya dilihat semakin mendalam.

Penganalisis beranggapan, menggantikan Perdana Menteri Rami Hamdallah selepas lima tahun adalah sebahagian usaha Abbas mengasingkan lagi lawan politiknya Hamas yang mentadbir di Semenanjung Gaza.

Kerajaan Hamdallah akan kekal mentadbir ketika kepimpinan baharu dibentuk.

“Kerajaan Perdana Menteri Rami Hamdallah menghantar surat peletakan jawatan kelmarin kepada Presiden Mahmoud Abbas,” kata agensi berita rasmi Wafa susulan mesyuarat Kabinet.

Lewat semalam, satu kenyataan Wafa mengesahkan, Abbas menerima peletakan jawatan itu namun meminta kerajaan terus ‘beroperasi sehingga pembentukan sebuah kerajaan baharu.’

Katanya, Abbas, 83, melihat pembentukan sebuah kerajaan baharu sebagai langkah ke arah pilihan raya Parlimen yang tidak diadakan sejak 2006 berikutan perpecahan politik. – AFP