ISKANDAR PUTERI, 9 DIS – Perubahan tampuk pentadbiran kerajaan yang baharu tidak akan menjejaskan perjalanan projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim berkata ini berikutan projek yang mendapat kelulusan daripada Kabinet pada 2019 itu merupakan komitmen kerajaan yang perlu dilaksanakan.
“InsyaAllah tidak, kerana kelulusan (projek) Kabinet yang pertama diberi pada 2019 dan ketika 2020 pun ada lagi perbincangan di Kabinet.
“Projek ini adalah komitmen daripada kerajaan, sebagai sebuah negara kita kena buat. Projek juga sudah separuh jalan dengan tanah semua sudah dibeli,” katanya kepada pemberita selepas Seminar RTS dan Impak Kepada Johor di Universiti of Reading Malaysia, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada perubahan tampuk pemerintahan kerajaan persekutuan akan menjejaskan perjalanan projek tersebut.
Ketika ditanya sama ada banjir kilat yang kerap berlaku di bandar raya ini akan melambatkan perjalanan projek tersebut, beliau berkata ia tidak mengganggu, kerana tapak projek berada di kawasan yang tinggi.
Mengenai perkembangan RTS, Mohd Zarif berkata projek itu yang dijangka siap pada Disember 2026, setakat ini telah mencapai lebih 20 peratus dan berjalan mengikut jadual termasuk pembinaan depoh yang terletak di Wadi Hana, di sini. – Bernama