Kerajaan, industri perlu sedia bagi edaran vaksin

KUALA LUMPUR, 10 SEPT – Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa kerajaan dan pihak berkepentingan industri agar mempunyai rancangan komprehensif bagi memastikan mereka bersedia sepenuhnya apabila vaksin COVID-19 diluluskan dan tersedia untuk pengedaran.

Persatuan itu turut mengingatkan mengenai potensi kekangan kapasiti yang buruk untuk membawa vaksin berkenaan melalui udara.

Menurutnya, kargo udara memainkan peranan utama untuk mengedarkan vaksin ini pada waktu biasa melalui sistem pengedaran masa dan suhu di peringkat global yang kukuh.

“Keupayaan ini adalah penting untuk pengangkutan yang efisien dan pantas serta pengedaran vaksin sebaik ia tersedia kelak, dan ini tidak akan berlaku tanpa perancangan yang berhati-hati, diketuai oleh kerajaan dengan sokongan pihak berkepentingan industri,” menurut IATA dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IATA, Alexandre de Juniac berkata penghantaran vaksin COVID-19 yang selamat akan menjadi misi industri kargo udara di peringkat global.

“Kami menggesa kerajaan menjadi peneraju untuk memudahkan kerjasama di seluruh rantaian logistik agar kemudahan, pengurusan sekuriti dan proses sempadan bersedia menjelang tugas yang lebih kompleks pada masa depan,” katanya. – Bernama