Kerajaan Iran dituduh sembunyi wabak koronavirus

TEHRAN, 24 FEB – Seorang penggubal undang-undang dari Qom, Iran hari ini menuduh kerajaan menyembunyi wabak koronavirus di bandar suci itu, menurut agensi berita ISNA.

Dalam laporan, Ahmad Amirabadi Farahani menuduh menteri kesihatan Iran ‘berdusta’ mengenai wabak tersebut, yang dikatakan oleh pihak berkuasa telah membunuh 12 orang di Iran.

Agensi berita ILNA, yang rapat dengan reformis, berkata penggubal undang-undang bercakap mengenai ’50 kematian’ di Qom sahaja.

“Media lain belum menyiarkan angka ini, tetapi kami memilih tidak menapis apa-apa berkenaan koronavirus kerana nyawa penduduk terancam,” beritahu editor ILNA Fatemeh Madiani kepada AFP.

Namun timbalan menteri kesihatan negara menolak laporan itu.

“Saya menafikan maklumat ini,” kata Iraj Harirchi pada sidang media yang disiarkan secara langsung di televisyen.

“Ini bukan masanya untuk konfrontasi politik. Koronavirus merupakan masalah negara,” tambah beliau.

Kerajaan Iran berjanji akan bersikap telus mengenai wabak berkenaan. – AFP