Kerajaan lakukan terbaik, tunai janji kepada rakyat

KUCHING, Feb 8 – Kerajaan berusaha melakukan apa yang terbaik, dalam usaha menunaikan janjinya kepada rakyat, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Katanya, bekerja dengan hati yang tulus ikhlas adalah satu usaha yang terbaik, untuk membangunkan bangsa. “Seperti usaha ikhlas, dilakukan oleh ketua kerajaan (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad), beliau melakukan apa yang benar, apa yang baik dalam usaha menunaikan janjinya kepada rakyat.

“Dengan usaha yang ikhlas juga membolehkan kita bergerak maju ke hadapan,” katanya di sidang media sempena Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak cabang Batu Lintang di sini, hari ini.​​​​​​​

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga merupakan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen, Anggota Dewan Undang Negeri (Adun) Batu Lintang, See Chee How dan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin.

Berkenaan Jawatankuasa Kabinet yang membincangkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Baru, mesyuarat telahpun diadakan dan perbincangan sedang diteruskan.​​​​​​​

“Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sarawak dan Sabah, kita mempunyai tempoh enam bulan untuk menjalankan tugas dan berbincang dalam usaha mengembalikan pelaksanaan MA63. – Bernama

Menteri Kerja Raya Baru Bian (kanan) beramah mesra dengan Golongan Kelainan Upaya (OKU) ketika mengadakan kunjungan sempena Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Cabang Batu Lintang hari ini. – Bernama